24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

KKM rayu orang ramai tidak pulang kampung sambut Aidiladha

Mesti Baca

Perayaan Aidilfitri, Hari Gawai lalu cetus 267 kluster, 17,106 kes positif

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merayu orang ramai agar tidak merentas negeri, pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidiladha yang akan diraikan Selasa ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan, ini bagi mengelak wujudnya kluster baharu daripada perayaan tersebut, sekali gus mengulangi kluster perayaan sebelum ini yang kesannya kekal sehingga hari ini.

Menurut beliau, sejak 1 Jun sehingga semalam, sebanyak 267 kluster komuniti dengan 17,106 positif Covid-19 dilaporkan dengan 105 aripada meninggal dunia sementara 42 kes sedang mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kes-kes tersebut dikesan daripada sejumlah 72,755 individu yang disaring (kadar positiviti 23.5 peratus) melalui Active Case Detection (ACD) yang dijalankan di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) secara berterusan.

“Kluster-kluster komuniti ini tercetus susulan sambutan majlis perayaan yang lalu (Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai), aktiviti kunjung-mengunjung di kawasan kejiranan atau kampung, perjumpaan antara ahli keluarga dari rumah-rumah yang berlainan serta majlis pengebumian.

“Beberapa kluster komuniti ini turut melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan yang disebutkan di atas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya juga menzahirkan kekhuatiran berkaitan 21 kluster yang didapati tercetus akibat aktiviti merentas negeri (Import B).

Beliau berkata, dalam tempoh 1 Jun 2021 sehingga semalam sahaja, sebanyak 1,010 kes positif COVID-19 telah dilaporkan dalam 21 kluster ini, iaitu daripada 5,681 individu yang disaring (kadar positiviti 17.8 peratus).

“Kluster-kluster ini didapati melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan sambutan perayaan, mengunjungi ahli keluarga, menghadiri majlis
pengebumian serta atas urusan kerja,” katanya.

Advertisements

Jelas beliau, negeri-negeri yang melaporkan jumlah kluster rentas negeri
tertinggi sejak 1 Jun adalah Perak dengan lapan kluster (38.1 peratus), Terengganu dengan lima kluster (23.8 peratus) serta Kelantan dengan tiga kluster (14.3 peratus).

Katanya, kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang
mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit diabetes atau kanser merupakan kumpulan yang sangat mudah terkesan dengan jangkitan COVID-19.

“Kita harus sedar bahawa sistem pertahanan tubuh mereka adalah lebih rendah dan membuatkan mereka mudah dijangkiti COVID-19.

“Tahap kesihatan mereka juga mudah merosot apabila dijangkiti COVID-19, sehingga ada yang boleh membawa kepada kematian,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penduduk Malaysia yang telah bersungguh-sungguh mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan dan terus kekal duduk di rumah.

Walau bagaimanapun, katanya, terdapat juga segelintir individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri yang cuai
dalam mematuhi SOP serta menyebabkan penularan kes atau kejadian kluster dalam komuniti.

“Justeru, KKM ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru masyarakat supaya mengambil iktibar dan tidak mengulangi sikap tidak bertanggungjawab, khususnya semasa sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan diraikan pada 20 Julai 2021.

“Masyarakat diingatkan bahawa larangan rentas daerah dan negeri masih lagi berkuatkuasa. Begitu juga larangan kunjungmengunjung bagi menyambut perayaan.

“Jangan pula dalam keseronokan menyambut Hari Raya Korban menyebabkan kita sama-sama ‘terkorban’ dek kerana COVID-19,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan