31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kajian semula model operasi demi tambah baik tadbir urus TH

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kajian semula model operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bertujuan memastikan isu tadbir urus, integriti dan reputasi TH ditambah baik di masa akan datang, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata semakan semula Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) adalah bagi memastikan kemampanan dan daya maju institusi kewangan itu di masa hadapan sebagai asas perlindungan kepada semua pendeposit TH.

“Kerajaan komited bahawa simpanan pendeposit TH yang kini telah mencecah RM80 billion dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

“TH kini berada di landasan terbaik dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh serta stabil dan kita akan tambah baik tadbir urus serta operasi TH melalui rangka kerja pengawalseliaan oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya kepada media selepas majlis sumbangan kotak makanan di Masjid Al-Hasanah, di Bangi, lapor Bernama.

Baru-baru ini, Kementerian Kewangan mengumumkan mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh yang melibatkan cadangan dasar model baharu operasi dan semakan pindaan Akta 535.

Jemaah Menteri turut bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia BNM.

Tengku Zafrul berkata, BNM mempunyai Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam serta Majlis Penasihat Shariah dianggotai individu berpengalaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Kajian menyeluruh oleh Jabatan Perdana Menteri melalui Menteri Hal Ehwal Agama, Kementerian Kewangan dan TH akan dilakukan untuk menilai model baharu yang dicadangkan sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat Kabinet yang akan mengambil kira kapasiti sedia ada termasuk aset, liabiliti dan kepakaran sumber manusia TH,” tambahnya.

Terdahulu, Tengku Zafrul menyampaikan 1,000 kotak makanan yang disumbangkan oleh Bank Simpanan Nasional kepada keluarga memerlukan di sekitar Bandar Baru Bangi.

Sumbangan kotak makanan ini merangkumi pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan makanan kering bernilai RM100 setiap satu telah diagihkan menerusi wakil-wakil dari masjid, surau dan pertubuhan bukan kerajaan di sekitar Bangi.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan