CYBERJAYA – Kakitangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, masih belum berputus asa, sebaliknya terus berjuang dan siap siaga dalam menangani lonjakan jumlah pesakit COVID-19 walaupun tiada katil lagi menempatkan pesakit di HTAR.
HTAR dalam hantaran Facebook hari ini berkata, gandingan pimpinan tertinggi HTAR dan semua Ketua Jabatan dan Unit telah membuat percaturan berani dengan mengubah fungsi dengan menjadikan wad sementara bagi menempatkan pesakit COVID-19.
“Inisiatif itu adalah bagi menampung keperluan berikutan situasi lonjakan kes di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR,”katanya.
HTAR berkata, di antara kawasan yang telah dijadikan tempat rawatan pesakit COVID-19 adalah asrama doktor pelatih dan Kompleks Rawatan Harian.
“Kedua-dua tempat ini mula menerima pesakit COVID-19 bermula pukul 8 malam, 9 julai 2021,” katanya.
Menurut HTAR, dengan bilangan kes harian di Selangor mencecah 4000 sehari bukanlah petanda baik bagi HTAR kerana kes harian yang hadir ke Jabatan Kecemasan juga turut meningkat dengan mendadak sehingga tiada katil lagi untuk menempatkan pesakit-pesakit ini.
Jelasnya, tanpa usaha dan sokongan daripada semua kakitangan HTAR yang sentiasa bertungkus-lumus dan bersedia menghadapi krisis ini bersama, sudah tentu inisiatif ini tidak dapat direalisasikan.
Pada masa yang sama sama, pihak HTAR mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang merupakan wira HTAR dalam membantu menghadapi krisis ini secara bersama. – Edisi 9