24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Covid-19 tak kenal anda ‘gedebe’ atau tidak

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

Berkorbanlah! Usah rentas negeri, daerah untuk balik kampung

POLIS Kelantan mengakui jumlah kenderaan memasuki negeri itu meningkat lima peratus pada Jumaat lalu, iaitu hujung minggu terakhir menjelang cuti perayaan Hari Raya Aidiladha pada Selasa ini.

Manakala semalam Timbalan Perdana Menteri memaklumkan, sebanyak 4,839 kenderaan yang cuba melakukan rentas negeri atau daerah diarahkan oleh polis berpatah balik pada Sabtu, jumlah tertinggi setakat ini.

Kedua-dua senario ini jelas menunjukkan kedegilan segelintir masyarakat kita terhadap amaran demi amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelak penularan pandemik Covid-19.

Lebih-lebih lagi pulang ke kampung halaman hanya untuk menyambut Aidiladha, sedangkan dalam mana-mana nas pun tidak ada meletakkan ‘balik kampung’ sebagai kewajiban meraikan Aidiladha mahupun Aidilfitri.

Lebih parah, mereka yang merentas negeri ini datangnya dari Lembah Klang, yang merupakan kawasan jangkitan Covid-19 paling tinggi di negara ini termasuk jangkitan secara sporadik, untuk pulang ke negeri dan daerah yang kadar kes harian sudah membaik.

Apa yang segelintir manusia ini mahu sebenarnya? Apakah nak menunjukkan mereka kebal terhadap virus Covid-19 yang kini telah mengorbankan jutaan umat manusia di seluruh dunia dan lebih 7,000 orang di Malaysia dalam tempoh satu tahun setengah ini?

Atau apakah mereka mahu menunjuk ‘gedebe’ sehingga segala amaran, arahan dan rayuan yang dibuat agar tidak merentas negeri dan daerah demi mengelak penularan wabak tersebut tidak dipedulikan?

Jangan hanya kita mahu meraikan hari raya korban tetapi akhirnya kita mengorbankan nyawa ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga kerana menjadi pembawa virus Covid-19. – Gambar hiasan/carian internet

Mereka tahukah bahawa sepanjang sambutan perayaan Aidilfitri dan Hari Gawai pada bulan Jun lalu, sebanyak 21 kluster telah tercetus kerana kedegilan segelintir masyarakat kita yang tidak mempedulikan orang lain?

Mereka bukan sahaja terus ‘gedebe’ merentas negeri dan daerah, malah mengadakan aktiviti kunjung-mengunjung di kawasan kejiranan atau kampung, perjumpaan antara ahli keluarga dari rumah-rumah yang berlainan serta majlis pengebumian.

Tahukah mereka berapa banyak individu yang positif Covid-19 hasil daripada kedegilan mereka itu?

Advertisements

Mengikut rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 267 kluster komuniti dengan 17,106 positif Covid-19 dilaporkan dari 1 Jun sehingga 16 Julai lalu, dengan 105 daripada meninggal dunia sementara 42 kes sedang mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ketika sambutan perayaan Aidilfitri lalu, kes-kes di Selangor dan Kuala Lumpur begitu tinggi namun selepas dua minggu perayaan, kita dapati peningkatan kes positif di Perak, Kelantan dan Terengganu melonjak, malah ada yang meninggal dunia. Sebaliknya kes-kes di Lembah Klang sedikit menurun.

Ini menunjukkan ada ‘akitiviti’ memindahkan virus Covid-19 dari Lembah Klang ke negeri-negeri lain hasil kedegilan masyarakat kita yang memandang mudah amaran kerajaan, yang tetap merentas negeri dan daerah dengan menggunakan segala cara dan alasan.

Kini, hari perayaan Aidiladha pula tiba Selasa ini dan semua tahu perayaan Hari Raya Korban ini merupakan sambutan yang amat dinantikan bagi masyarakat di negeri-negeri di Pantai Timur, khususnya Kelantan. Bagi negeri ini, hari raya Korban jauh lebih meriah dan bermakna berbanding raya puasa.

Justeru, tidak hairan ramai yang masih berdegil berusaha untuk pulang ke kampung halaman mereka semata-mata mahu meraikan hari raya korban, mahu menziarahi pusara orang tua dan ahli keluarga dan bertemu sanak-saudara.

Semua aktiviti ini jelas-jelas mengundang penularan wabak Covid-19 dengan mudah.

Ketahuilah virus Covid-19 ini, tambahan pula dengan pelbagai jenis varian baharu, begitu mudah menular tanpa mengira siapa sama ada anda ‘gedebe’ atau tidak. Sekali menyerang, seluruh organ dalam badan anda lumpuh.

Anda mengalami kesukaran bernafas sehingga perlu menggunakan oksigen selama berminggu-minggu, intervator dan jika imunasasi dalam badan tidak mampu melawan virus ini, tidak mustahil anda tidak boleh diselamatkan.

Jika anda seorang sahaja tidak mengapa, padan mukalah sebab degil, tetapi bayangkan anda menyebabkan kematian orang tua anda, orang kampung di sekeliling anda, kawan-kawan, jiran-jiran dan ahli keluarga yang lain.

Nak seronok sekejap tapi menanggung beban pencetus kluster sehingga mengorbankan nyawa orang lain, apakah itu juga menyeronokkan?

Fikir-fikirkanlah!

  • Lastik! – Dah lama tak balik kampung
Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan