32.8 C
Kuala Lumpur
Monday, September 20, 2021

Trak tunda bawa dadah RM23.72 juta, dua beranak ditahan

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

PELBAGAI taktik digunakan oleh sindiket untuk mengaburi pihak polis dalam aktiviti pengedaran dadah dan terbaru termasuklah menggunakan trak tunda.

Bagaimanapun kecekapan pihak polis berjaya mematahkan taktik tersebut apabila satu sindiket penyeludupan dadah berjaya ditumpaskan susulan penahanan dua beranak dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM23.72 juta di Jalan Lebuhraya Timur Barat di Gerik, Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata hasil maklumat awam, kedua-dua lelaki berumur 27 dan 58 tahun itu yang berasal dari Kelantan ditahan sepasukan pegawai dan anggota mereka pada 6 petang hari kejadian.

“Kedua-dua mereka adalah pemandu dan kelindan trak tunda yang membawa muatan tundaan sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna putih bagi mengaburi pihak berkuasa. Semasa pemeriksaan ke atas kenderaan itu dilakukan, polis menemukan bungkusan teh Cina mengandungi dadah dipercayai dadah jenis Methamphetamine dan ketamin dengan anggaran seberat 448 kg. 

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM19,672,” katanya pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Ipoh yang turut disertai Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid hari ini, lapor Bernama.

Baca juga:   Jokowi individu pertama disuntik vaksin Covid-19 di Indonesia

Beliau berkata kesemua dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada kira-kira 2.1 juta penagih dadah dipercayai untuk pasaran antarabangsa antaranya Indonesia, Filipina, Korea Selatan dan Australia.

Baca juga:   Indonesia sahkan Sriwijaya Air SJ182 terhempas

Razarudin berkata kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing juga mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

Dalam pada itu, Razarudin berkata hasil risikan pihaknya mendapati kebanyakan modus operandi yang digunakan oleh pengedar dadah ketika ini adalah menggunakan trak tunda atau kereta mewah untuk membawa bekalan dadah sebagai taktik untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Ini merupakan modus operandi terbaharu yang digunakan di beberapa tempat sindiket pengedaran dadah. Pegawai dan anggota telah diarah membuat pemeriksaan secara menyeluruh semasa menahan mana-mana kenderaan trak tunda yang membawa kenderaan di atasnya,” jelasnya.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman selama seminggu bermula 27 Jun hingga 3 Julai depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988.

Terkini

Lagi Artikel Berkaitan