25.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, December 7, 2021

Tiada kelulusan perlombongan di Tasik Chini – KeTSA

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) tidak akan mengeluarkan sebarang kelulusan untuk aktiviti perlombongan di kawasan pemeliharaan termasuk Tasik Chini di Pahang.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, KeTSA sebagai titik fokus kebangsaan point bagi program Manusia dan Biosfera (MAB) di bawah Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO0, akan sentiasa menyokong usaha dan komitmen kerajaan negeri Pahang dalam memelihara tapak rizab biosfera Tasik Chini.

Menurut beliau, antara komitmen kerajaan negeri Pahang adalah memperluaskan Hutan Simpan Chini kepada 6,000 hingga 7,000 hektar, mempergiatkan pemuliharaan kawasan tasik berkenaan, pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu, menghentikan aktiviti melombong di kawasan Tasik Chini serta mempertahankan status tapak biosfera UNESCO dilaksanakan.

“Dalam usaha ini, KeTSA sentiasa menekankan kepentingan memelihara kelestarian kawasan tapak rizab biosfera Tasik Chini bagi menyokong usaha-usaha mempertahankan pengiktirafan ini.

“Dasar dan hala tuju telah ditetapkan dalam memastikan pengurusan dan pembangunan sumber-sumber asli dilaksanakan secara bertanggung jawab dan mampan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tasik Chini Shamsul Anuar Nasarah
SHAMSUL ANUAR NASARAH

Shamsul Anuar memberitahu, selaras dengan fungsi kawal selia itu, KeTSA tidak akan mengeluarkan sebarang kelulusan untuk aktiviti perlombongan di kawasan-kawasan pemeliharaan seperti hutan simpanan kekal (HSK), kawasan rizab perlindungan mahupun kawasan yang telah diwartakan secara khusus seperti tadahan air atau kawasan sensitif alam sekitar (KSAS).

Baca juga:   Gisel mengaku wanita dalam video lucah

Tambah beliau, bagi maksud tersebut, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) tidak akan mengeluarkan sebarang Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) bagi permohonan dalam kawasan-kawasan berkenaan.

“Manakala kelulusan untuk kawasan selain daripada itu adalah tertakluk kepada penilaian dan kelulusan teknikal yang dapat menyediakan suatu tempat kerja yang selamat dan tidak membahayakan komuniti bersebelahan merangkumi flora dan fauna,” jelasnya.

Baca juga:   Pemilik akaun TNB nikmati rebat 2 sen/kWj 2021

Shamsul Anuar berharap, dengan adanya inisiatif daripada kerajaan negeri Pahang, pengiktirafan tasik tersebut sebagai tapak rizab biosfera MAB dapat terus dipertahankan.

Menurut beliau, Sekretariat UNESCO Paris telah memberikan tempoh sehingga tahun 2022 untuk penilaian semula status tapak rizab biosfera Tasik Chini.

“Sebagai tapak rizab biosfera yang pertama di Malaysia, pengurusan Tasik Chini menjadi kayu pengukur kepada pengurusan semua khazanah alam semula jadi negara.

“KeTSA akan terus memberikan kerjasama dan menyokong inisiatif kerajaan negeri Pahang bagi memastikan khazanah negara yang bernilai tinggi ini terpelihara demi faedah generasi masa kini dan akan datang,” ujarnya.

Penyertaan Malaysia dalam program MAB UNESCO bermula pada 2009 menerusi pengiktirafan Tasik Chini pada 26 Mei 2009 yang berkeluasan 6,922.97 hektar.

Inisiatif itu melibatkan program saintifik antara kerajaan bagi memperbaiki hubungan antara manusia dan alam sekitar dengan memberi penekanan kepada keperluan pembangunan dan penjagaan alam sekitar. – EDISI 9

Terkini

Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia ikut SOP ketat

PROGRAM 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akan dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat...

Lagi Artikel Berkaitan