CYBERJAYA – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyambut baik langkah kerajaan melaksanakan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjumlah RM150 bilion bagi meringankan beban rakyat.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pemuda UMNO gembira kerana kerajaan bersetuju melaksanakan beberapa tuntutan rakyat yang lantang dibawa oleh sayap parti itu.
Antara tuntutan rakyat yang dibangkitkan oleh Pemuda UMNO yang diambil kira hampir kesemuanya oleh kerajaan termasuk bantuan tambahan tunai untuk rakyat.
Menerusi bantuan tersebut, kerajaan menyediakan peruntukan khas tambahan RM10 billion bagi bantuan tunai langsung seperti Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP).
“Moratorium automatik yang turut diperluaskan kepada semua golongan termasuk B40, M40 dan PKS.
“Cuma diharapkan dapat memastikan bank-bank tidak mengenakan sebarang faedah atau caj tambahan yang pasti membebankan rakyat,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO Malaysia juga menyambut baik pengenalan inisiatif i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggantikan i-Sinar dengan jumlah siling pengeluaran simpanan RM5,000 (RM1,000 sebulan).
“Diharapkan juga dapat dipermudahkan dan disegerakan segala urusan pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata, Pemuda UMNO juga menyambut baik keputusan kerajaan menyediakan diskaun bil utiliti kerana ianya akan memberi manfaat kepada isi rumah terbanyak.
Katanya, Pemuda UMNO Malaysia juga berharap agar kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menggandakan usaha memastikan bekalan barangan asas keperluan seperti minyak masak mencukupi dan terkawal.
“Pemuda UMNO Malaysia akan terus memantau bagi pihak rakyat agar pelaksanaan bagi setiap inisiatif ini dapat disegerakan serta tidak tersekat oleh kerenah birokrasi yang menyulitkan berdasarkan pengalaman pakej-pakej bantuan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menganggap langkah-langkah yang diumumkan kerajaan itu amat kritikal untuk mengekalkan kecairan ekonomi rakyat.
Beliau berkata, PEMULIH juga diharap dapat memelihara asas ekonomi daripada risiko keruntuhan serta membuat persediaan untuk memacu fasa pemulihan apabila ekonomi dibuka secara beransur-ansur nanti.
“Untuk menyokong PEMULIH, rangkaian ARMADA di seluruh Malaysia sedia main peranan melalui program #ArmadaPrihatin dan usahasama dengan rakan sayap pemuda Perikatan Nasional untuk membantu rakyat khususnya peniaga kecil-kecilan dan perusahaan kecil dan sederhana mikro untuk mendapatkan manfaat daripada program-program yang ditawarkan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini. – Edisi 9