30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

KKMM sasar 800,000 usahawan terlibat dalam ekonomi digital

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya 800, 000 usahawan untuk menerima guna pendigitalan dan seterusnya terlibat aktif dalam ekonomi digital melalui Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kementerian itu juga melalui kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding bersama-sama pemain industri dan platform-platform e-dDagang, mensasarkan manfaat kepada lebih 300,000 peniaga mikro dan Perusahaan Kecl dan Sederhana daripada pelbagai kumpulan dengan peruntukan sebanyak RM200 juta.

‘’Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) terlibat secara langsung dalam pelaksanaan dua daripada tiga fokus utama PEMULIH, iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat dan Menyokong Perniagaan dan memberi fokus kepada kesalinghubungan internet, keusahawanan digital, kelangsungan industri kreatif, serta kesihatan mental,’’ katanya dalam kenyataan.

SAIFUDDIN ABDULLAH

Beliau berkata, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama iaitu Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia dan U Mobile telah bersetuju untuk sekali lagi melanjutkan perkhidmatan pemberian 1 gigabit data harian secara percuma bermula 1 Ogos sehingga 31 Disember 2021. 

‘’Kemudahan yang dianggarkan bernilai RM500 juta ini akan memberi manfaat kepada 44 juta pelanggan berdaftar,’’ katanya.

Pada masa yang sama, kata beliau, sejajar dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR) dalam pertanian, Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian atau Digital AgTech dengan usaha sama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pertubuhan Peladang Kawasan akan melatih 250 usahawan tani khususnya di luar bandar untuk beralih ke platform ekonomi digital. 

‘’Kedua-dua inisiatif ini diharap mampu meningkatkan hasil perniagaan dan penjualan secara dalam talian untuk menjana sumber pendapatan yang lebih lumayan,’’ katanya.

Beliau berkata, manfaat PEMULIH akan turut dirasai oleh penggiat industri kreatif negara dengan peruntukan sebanyak RM100 juta melalui jabatan serta agensi-agensi di bawah KKMM seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MyCreative Ventures (MyCV), Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

‘’Ia  bagi melaksanakan 13 inisiatif utama dalam bentuk kemudahan pembiayaan, pembangunan kapasiti, akses pasaran dan promosi, serta produksi di televisyen dan radio..

‘’Inisiatif ini mensasarkan lebih 8,000 penerima manfaat daripada pelbagai bidang antaranya penyanyi, pemuzik, pelakon, penulis skrip, pencipta lagu, penggiat teater, artis seni persembahan, syarikat penerbitan dan kru produksi dan teknikal di belakang tabir,’’ katanya.

Saifuddin berkata, dianggarkan juga sebanyak 35,000 pekerjaan bakal diwujudkan dalam industri ini dan peruntukan ini juga akan digunakan untuk meneruskan program-program di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) yang sedang dilaksanakan sejak Februari lalu.

Beliau juga memaklumkan, seramai 11,460 tenaga kerja di bawah syarikat-syarikat produksi penerima Dana Kandungan Digital FINAS bakal menerima caruman perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO melalui Inisiatif Caruman Tenaga Produksi.

‘’Di samping itu dalam menghadapi situasi yang tidak menentu akibat pandemik COVID-19, Kerajaan juga menyedari keperluan sokongan psikososial semasa kita semua menghadapi perang yang belum selesai ini. 

‘’Dalam konteks ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengadakan slot khas kesihatan mental yang disiarkan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia setiap hari,’’ katanya.

Saifuddin berharap, peruntukan sebanyak RM15 juta kepada badan-badan bukan Kerajaan atau NGO sebagai rakan strategik Kerajaan untuk menangani isu-isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan, dan masalah sosial lain di peringkat komuniti akan dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat.

‘’Saya yakin Pelan Pemulihan Negara secara berperingkat yang disokong dengan PEMULIH untuk membela kelangsungan hidup rakyat dan kelestarian pelbagai industri yang terkesan akibat pandemik COVID-19 mampu membawa kita keluar

daripada pandemik ini. 

‘’Dalam masa yang sama, kita juga perlu mengambil peluang dan kemudahan yang disediakan terutamanya dalam pendigitalan, e-dagang dan industri kreatif untuk terus meningkatkan kemahiran ekonomi digital serta memperkayakan penghasilan karya tempatan,’’ katanya.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan