24.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Jangan campur tangan pemilihan naib canselor – CUEPACS

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap pihak luar dan dalam terutamanya mereka yang mempunyai kepentingan tidak campur tangan dalam soal pemilihan naib canselor yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam.

Presidennya, Adnan Mat berkata, campur tangan pihak terbabit terutamanya dalam mencadangkan sendiri nama calon Naib Canselor yang sesuai adalah tidak wajar kerana dikhuatiri mempunyai kepentingan tertentu.

Menurut beliau, cadangan nama-nama tertentu secara terbuka juga boleh mengakibatkan keharmonian bekerja terjejas apabila wujudnya kumpulan-kumpulan yang cuba melobi ketua masing-masing untuk mendapatkan jawatan tersebut.

“CUEPACS percaya proses pemilihan yang dilakukan oleh KPT adalah telus dan tepat dalam mencari calon yang terbaik dan sesuai bagi menggalas kekosongan jawatan naib canselor di universiti awam.

“Janganlah ada cubaan untuk mengganggu urusan pemilihan dengan mencadangkan nama-nama yang diingini secara terbuka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Adnan memberitahu, CUEPACS akan terus bersama KPT dan menghormati setiap keputusan yang dilakukan demi kebaikan perkhidmatan awam di insititusi pengajian tinggi negara.

Advertisements

Beliau menambah, CUEPACS percaya KPT dan Akademi Pendidikan Kepimpinan Pendidikan Tinggi yang diwujudkan mampu mengenal pasti dan mengembangkan bakat kepimpinan di institusi dalam kalangan ahli akademik terutamanya di universiti awam.

Adnan berkata, CUEPACS juga menghargai maklum balas Kementerian Pendidikan Tinggi dalam isu kekosongan jawatan naib canselor membabitkan lima buah universiti awam ketika ini.

“Komitmen yang dizahirkan oleh KPT untuk menyelesaikan isu kekosongan jawatan naib canselor di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam tempoh masa terdekat ini amat dihargai oleh CUEPACS.

“Hasrat utama CUEPACS dalam isu ini hanyalah mahu memastikan potensi sepenuhnya institusi pengajian tinggi negara dapat diterokai sepenuhnya melalui urus tadbir yang cemerlang terutama ketika negara sedang mengalami pandemik COVID-19.

“Pelantikan naib canselor yang baru dengan cepat sudah tentu membolehkan operasi pentadbiran universiti tersebut berjalan dengan baik sekali gus berada dalam landasan tepat untuk melaksanakan hala tuju, visi dan misi yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” jelasnya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan