32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Ibu hamil yakin vaksinasi langkah terbaik lindung diri, kandungan

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Di sebalik cerita-cerita negatif tentang vaksin Covid-19 yang digembar-gemburkan oleh golongan antivaksin, kisah ibu hamil mengalami pelbagai kesan teruk akibat dijangkiti virus itu termasuk melahirkan bayi pramatang lebih menggusarkan hati Noor Syakila Mothar yang bakal melahirkan anak pada September ini.

Lantaran itu, suri rumah berkenaan memutuskan untuk melindungi kandungannya yang berusia 27 minggu dengan mendaftar melalui MySejahtera bagi mendapatkan vaksin Covid-19.

“Sedih dan sayu bila terbaca kisah seorang ibu yang positif Covid-19 merayu agar doktor selamatkan bayinya secara pembedahan walaupun usia kandungan belum cukup tempoh, tapi mujurlah kedua-duanya selamat.

“(Dimaklumkan) Bila Covid-19 menyerang, ia ‘merosakkan’ badan dengan sangat cepat, dalam beberapa hari boleh jadi tahap empat atau lima. Jadi saya fikir kalau ibu hamil dah divaksin, harapnya peluang dapat Covid-19 lebih tipis,” kata suri rumah berusia 35 tahun itu kepada Bernama di Jitra.

Keputusan sama turut diambil Najwa Mohd Said, 29, walaupun usia kandungannya masih terlalu awal, baru mencecah sembilan minggu.

“Saya agak paranoid dengan keadaan sekarang, rasa sangat tidak selamat dan saya sangat berharap agar ada vaksin yang bersesuaian untuk ibu-ibu seperti saya,” kata suri rumah itu.

Advertisements

Najwa berkata suntikan vaksin itu baginya merupakan antara  ikhtiar untuk melindungi diri daripada wabak yang sedang mengganas tersebut, atau paling tidak dapat memberikan sedikit kelegaan kepadanya jika terpaksa berada dalam khalayak ramai.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata wanita berbadan dua lebih cenderung untuk mengalami kesan yang lebih teruk apabila dijangkiti Covid-19 berbanding wanita tidak hamil.

“Mendapatkan vaksinasi semasa hamil akan melindungi ibu-ibu daripada mengalami kesan teruk akibat Covid-19. Maklumat berkenaan vaksin untuk ibu hamil boleh diperoleh daripada laman sesawang informasi vaksin Kementerian Kesihatan dan mereka juga boleh mendapatkannya di klinik ibu mengandung.

“Sekiranya masih ada keraguan, berbincang dan dapatkan pandangan daripada pegawai perubatan yang merawat anda,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata hanya vaksin keluaran Pfizer-BioNTech sesuai diberikan kepada mereka yang hamil dengan tempoh kandungan berusia 14 hingga 33 minggu.

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan