33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

e-Reporting bukan saluran lapor penghasut antivaksin

Mesti Baca

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa mesej tular bertajuk ‘Sila laporkan penghasut antivaksin’ dalam media sosial adalah palsu.

Superintendan Komunikasi Korporat Bukit Aman, Superintendan Skandaguru Anandan berkata, mesej yang didakwa daripada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani itu dikatakan meminta masyarakat melaporkan ‘penghasut antivaksin’ melalui portal https://ereporting.rmp.gov.my.register.aspx.

Menurut beliau, portal e-Reporting yang dinyatakan dalam mesej berkenaan adalah perkhidmatan projek rintis oleh PDRM di beberapa lokasi khusus untuk orang awam membuat laporan polis secara dalam talian.

“Portal tersebut hanya bagi kes-kes yang tidak melibatkan jenayah atau tidak memerlukan siasatan lanjut oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Skandaguru memberitahu, masyarakat diminta agar tidak menyebarkan mesej palsu berkenaan dan dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang tidak disahkan.

“Jika timbul sebarang keraguan, pertanyaan boleh disalurkan kepada PDRM melalui Facebook Rasmi PDRM atau lain-lain media sosial rasmi PDRM,” jelasnya.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk menggubal ordinan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap golongan antivaksin yang menghasut orang ramai agar menolak vaksin COVID-19.

Menurut beliau, ordinan seumpama itu mungkin diperlukan memandangkan ada kempen yang dilakukan pihak tertentu untuk menolak vaksin COVID-19.

“Insya-Allah sekiranya boleh, ia akan dijadikan sebagai satu ordinan. Sekiranya mereka (golongan antivaksin) tidak mahu mengambil vaksin, itu adalah masalah mereka, tetapi yang menjadi masalah adalah mereka buat kempen untuk orang tidak ambil vaksin.

“Itu menjadi masalah kepada kita (kerajaan),” katanya.

Hamzah berkata, negara ini perlu mencapai imunisasi kelompok bagi membolehkan kesemua aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi semula seperti biasa.

Kumpulan antivaksin dilihat semakin giat menghasut orang ramai agar tidak mengambil vaksin ketika kerajaan sedang rancak melaksanakan program vaksinasi di seluruh negara.

Antara taktik yang digunakan kumpulan aktivaksin adalah menyebarkan berita palsu bagi menghakis keyakinan rakyat terhadap keberkesanan vaksin bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Malah, ada yang membuat dakwaan tidak masuk akal kononnya mikrocip dimasukkan ke dalam tubuh mereka yang disuntik vaksin. – EDISI 9

Terkini

Keputusan peperiksaan STAM 2023 diumum 26 Mac ini – KPM

KEPUTUSAN Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023 akan dikeluarkan pada hari Selasa, 26 Mac ini. Kementerian Pendidikan...

Lagi Artikel Berkaitan