24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Anak bekas Menteri Besar sekolahkan ‘anak MB’?

Mesti Baca

KEMAMAN – Anak bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad memberi nasihat kepada anak seorang Menteri Besar (MB) yang menuduh ‘rakyat sampah’ kerana bosan dengan kerenah mereka yang mahu mengambil kesempatan ke atas keluarganya.

Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, beliau memahami perasaan ‘anak MB’ tersebut kerana dia sendiri pernah melaluinya selama 25 tahun dan menasihatinya agar bersabar.

Berikut kenyataan Wan Hakim yang dimuatkan dalam Facebooknya, semalam.

Ada kawan hantar posting (hantaran) anak MB kita yang menerima pelbagai reaksi terutama atas tulisan #rakyatsampah.

Dia menceritakan ramai rakyat cuba mengambil peluang melalui adik beradiknya atas kedudukan ayahnya dengan meminta bantuan dan sumbangan tanpa henti seolah-olah ayahnya itu ATM (mesin wang automatik) dan sebagainya.

Hak anak ni melepas ‘hawa’ (perasaan), hak dia untuk menukis apa sahaja pandangan dan perasaannya.

Beginilah, pakcik ini pun pernah jadi anak MB Terengganu, 25 tahun. Dari umur 7 tahun sampai 32 tahun. Anak ini baru tiga tahun saja jadi anak MB.

Pakcik pun sempat juga berkhidmat kepada rakyat selama 10 tahun.

Ayah pakcik sepanjang hidupnya bekerja untuk rakyat. Cuma mengajar dua tahun sahaja di Sekolah Arab Zainal Abidin, selepas itu terus menjadi wakil rakyat.

Rakyat adalah segala-galanya. Kita dipuji, dikeji, menang atau kalah, jangan salahkan rakyat. Mungkin ada kelemahan kita. Apa yang penting adalah buat yang terbaik.

Pakcik dan adik-beradik dipesan oleh Mama dan Baba, bila rakyat minta tolong menjadi tanggungjawab kita untuk sampaikan.

Ada yang layak tolong, ada yang tak layak. Ada yang genuine (tulen) ada yg menipu. Majoritinya memang betul mereka perlukan bantuan. Bersangka baiklah.

Advertisements

Memang rakyat yang susah anggap kita sebagai ATM. Ibu yang kematian suami, anak lima bersekolah, keluarga semua daif, mana lagi nak minta bantuan kalau bukan ATM wakil rakyat dan selepas itu JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan MAIDAM.

PIBG sekolah-sekolah yang di pedalaman, berapa sangatlah dapat kumpul sumbangan dari mak ayah untuk program anak-anak. ATM wakil rakyat akan bantu.

Apatah lagi kalau kita MB, pesakit perlu bayar rawatan segera, balai raya rosak, jalan rosak, surau dah tersungkur, ATM MB akan diguna. (ATM MB dan wakil rakyat sebenarnya datang dari rakyat juga sebab gaji dan peruntukan datang dari hasil mahsyul negeri – milik rakyat).

Kita sebagai anak-anak adalah cerminan ayah dan mak kita, walaupun ia tak adil. Tak perlu jadi malaikat, tapi cubalah stay out of trouble (elak daripada timbulkan masalah).

Memang iman tak dapat diwarisi. Ada sahaja antara anak-anak yang tak berapa menjadi walaupun mak ayah baik. Itu cabaran mak ayah dari Allah.

Betul ramai yang tiba-tiba baik dengan kita untuk guna ayah kita. Ada yang tawar kita saham di syarikat tersenarai, jadi pengerusi syarikat dan lain-lain untuk ambil peluang dengan ayah kita. Pandai-pandailah kita tolak.

Pokok pangkalnya, tak payahlah blame (kutuk) dan salahkan orang lain terutama rakyat. Ayah kita naik kerana rakyat.

Bila ayah dan mak kita diangkat menjadi pemimpin, memang nak tak nak kita ada tanggungjawab.

Pakcik dan adik beradik lalui apa yang anak ini lalui. Tapi pendekatan kita berbeza. Perasaan empati, belah kasihan dan bersangka baik jadi sandaran utama.

Arwah Mama selalu pesan “jaga nama baik Baba…” masih terngiang-ngiang di telinga sampai sekarang. 25 tahun kami lalui.

Pakcik faham perasaan anak ini. Banyak bersabar. Mungkin boleh pakai pesan arwah Mama pakcik tu.

Wallahu a’lam

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan