31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

1,128,738 individu lengkap dua dos vaksin Covid-19

Mesti Baca

CYBERJAYA – Seramai 2,364,455 individu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini berjumlah 3,493,193 dos.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, seramai 1,128,738 individu sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam.

Melalui akaun Twitternya, beliau juga memberitahu,  Selangor merekodkan pemberian dos lengkap tertinggi sebanyak 145,970 orang, diikuti Sarawak (119,306), Perak (105,525), Kuala Lumpur (101,821) dan Johor (98,276).

“Setakat semalam, sebanyak 52.3 peratus atau 12,683,764 individu telah mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi seramai 3,353,308 orang,” katanya.

Mengikut perancangan, fasa kedua program itu yang bermula April lepas hingga Ogos ini akan membabitkan pemberian vaksin kepada 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya.

Fasa ketiga dari Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu berusia 18 tahun ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran sekurang-kurangnya 13.7 juta orang.

Pada fasa pertama program yang berlangsung dari Februari hingga April lepas, kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan termasuk warga kesihatan menerima vaksin berkenaan.

Sementara itu ketika bercakap kepada pemberita di Johor Bharu, Dr. Adham berkata, kejayaan United Kingdom (UK) merekodkan kematian sifar Covid-19 baru-baru ini meningkatkan lagi keyakinan kerajaan terhadap keberkesanan PICK yang sedang dilaksanakan.

Beliau berkata, pencapaian UK itu turut meningkatkan semangat kerajaan untuk memastikan pemvaksinan ke atas seramai mungkin penduduk di negara ini.

“Daripada data yang kita peroleh menunjukkan UK dengan program vaksinasi mereka telah mencatatkan zero death. Ini beri kita semangat bahawa vaksin yang diberi betul-betul menolong meningkatkan imuniti dan perlindungan.

“Oleh itu, penting untuk kita menyediakan vaksin kepada seramai mana penduduk yang boleh agar kes COVID-19 tidak sampai ke tahap serius,” katanya selepas meninjau persiapan operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada.

Dr Adham berkata, kerajaan kini melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pemvaksinan ke atas penduduk termasuk membuka lebih banyak PPV.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan individu yang gagal menghadiri janji temu pemberian suntikan vaksin COVID- 19 agar turut membuat penjadualan semula menggunakan aplikasi MySejahtera.

Ini penting bagi memastikan hasrat kerajaan untuk mencapai imunisasi kelompok  dalam kalangan rakyat tercapai, sekali gus menghentikan penularan pandemik berkenaan, katanya.

“Jadi mereka perlu reschedule dalam MySejahtera dan kita akan tengok. Dalam masa sama, kita tiada masalah dengan vaksin yang dibekalkan kerana kita boleh buat simpanan untuk penerima vaksin seterusnya,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan