25 C
Kuala Lumpur
Sunday, June 20, 2021

Polemik program vaksin Covid-19 – Di mana kita?

Must Read

Oleh AIZAT AZAM

AIZAT AZAM

DUA hari lalu negara kita mencatat satu lagi rekod baharu dalam sejarah pandemik Covid-19 iaitu jumlah kematian tertinggi seramai 44 orang.

Semalam pula 36 nyawa lagi terkorban, menjadikan jumlah nyawa rakyat Malaysia yang diragut oleh Covid-19 adalah seramai 1,902 orang sejak virus yang membawa maut itu menyerang dunia ini.

Jumlah kes dijangkiti dalam tempoh seminggu ini masih tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan yang ketara dengan angka purata 4,252 kes.

Jumlah kes harian tertinggi yang dicatat setakat ini pula direkodkan pada 29 Januari 2021 iaitu berjumlah 5,725 kes.

Ada pihak yang membandingkan jumlah kes dengan negara jiran Indonesia dari segi jumlah populasi penduduk dan nisbah kes.

Kenyataan itu ada benarnya jika kita lihat populasi Indonesia berjumlah 276.3 juta orang dengan jumlah kes setakat 16 Mei 2021 ialah 1,739,750 kes.

Jumlah kematian yang dicatat ialah seramai 48,093 orang dan purata kes dalam seminggu ini pula berjumlah 4,907 kes.

Malaysia pula dengan jumlah populasi penduduk 32.7 juta orang, mencatat jumlah kes jangkitan setakat 16 Mei 2021 iaitu sebanyak 470,110 kes dengan angka kematian keseluruhan berjumlah 1,902 orang.

Dari segi nisbahnya jelas menunjukkan bahawa situasi kes jangkitan di Malaysia adalah lebih serius iaitu satu kes bagi setiap 70 orang penduduk.

Manakala Indonesia pula dengan satu kes bagi setiap 160 orang penduduk, iaitu lebih baik daripada Malaysia.

Dengan catatan angka nisbah itu, sebenarnya kita rakyat Malaysia perlu merasa bimbang dan tidak boleh mengambil sikap sambal lewa dalam menangani pandemik Covid-19 ini.

Bercakap mengenai program vaksin, kita juga perlu lebih agresif. Persoalannya di mana kedudukan kita sebenarnya berbanding negara lain.

Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti Covid-19 Vaccine Global Access atau COVAX dan pembelian awal daripada 5 pengeluar vaksin COVID-19.

Pada 21 Februari lalu, sejumlah 312,390 dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech bagi kumpulan pertama itu telah tiba di Malaysia.

Kita dimaklumkan, ada tiga peringkat Program Imunisasi. Fasa Satu (Februari – April 2021) untuk petugas barisan hadapan.

Fasa Kedua (April – Ogos 2021) untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi dan Fasa Ketiga (Mei 2021 – Februari 2022) untuk warga berumur 18 tahun ke atas.

Pada 13 Januari lalu, Pharmaniaga mengumumkan telah menandatangani perjanjian dengan Sinovac, pengeluar vaksin dari China untuk membotol dan mengedarkan 14 juta dos vaksin Covid-19.

Vaksin itu akhirnya tiba di Malaysia pada 27 Januari 2021 dalam bentuk cecair sebanyak 200 liter dan boleh diproses menjadi lebih 300,000 dos.

Data terkini sehingga 16 Mei 2021 menunjukkan jumlah pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia ialah 1,925,337 dos.

Daripada jumlah itu, 1,192,426 orang penerima dos pertama. Manakala dos kedua pula telah diberikan kepada 732,911 orang.

Dari segi pendaftaran pula, sejumlah 10,146,732 orang telah mendaftar menerusi pelbagai platform pendaftaran yang disediakan oleh kerajaan.

Semua data pemberian vaksin dan juga pendaftarannya disifatkan masih rendah dan perlukan satu lonjakan angka dilakukan oleh kerajaan.

Ada laporan menyebut berlakunya masalah kesesakan di Pusat Vaksinasi Kuala Lumpur World Trade Centre, KL WTC, apabila orang ramai yang tidak ada janji temu suntikan vaksin turut hadir mencuba nasib untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Situasi itu tidak sepatutnya berlaku kerana boleh menimbulkan keresahan dan kebimbangan akan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan mereka yang sudah mengesahkan penerimaan vaksin.

Senario ini perlu dilihat secara serius oleh kerajaan. Ini menunjukkan bahawa maklumat mengenai program vaksinasi tidak sampai kepada rakyat secara tepat dan tersasar.

Perkara itu tidak sepatutnya berlaku jika pengurusan penyampaian maklumat dilaksanakan secara teliti dan terancang lebih awal.

Begitu juga dengan data harian mengenai jumlah penerima vaksin. Kita tertanya-tanya berapakah jumlah sebenar penerima vaksin setiap hari dan berapa jumlah penerima vaksin mengikut negeri.

Data-data itu kita tidak dihidangkan secara menyeluruh. Data-data itu hanya disalurkan menerusi laman web vaksincovid.gov.my.

Satu lagi data yang perlu direkodkan adalah data mengikut pecahan golongan atau umur penerima vaksin dan juga mengikut kaum.

Data itu penting untuk melihat komposisi penerima vaksin bagi memudahkan sebarang pelan tindakan lanjut boleh disusun jika ada keperluan tertentu.

Semua data-data itu perlu diselaraskan penyiaran dan penyebarannya setiap hari bagi memudahkan rakyat menerima maklumat penting itu.

Media-media konvensional seperti televisyen dan surat khabar tidak boleh dipinggirkan dan masih perlu digunakan untuk menyalurkan maklumat itu.

Media sosial pula perlu digunakan secara lebih agresif dan menyeluruh.

Perlu juga difikirkan bagaimana untuk menyampaikan maklumat itu kepada rakyat di luar bandar yang tidak ada jaringan internet atau golongan rakyat yang langsung tidak mempunyai akses kepada jalur lebar.

Itu semua perlu diambil kira dan diberikan perhatian oleh pihak kerajaan. Ini kerana situasi kita sekarang sedang berperang dengan musuh yang tidak nampak.

Justeru, segala data dan maklumat perlulah disampaikan secara tuntas kepada rakyat di seluruh pelosok negara.

Dalam pada itu, data terkini di laman web Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menunjukkan peningkatan kes harian serentak di seluruh dunia sejak dua minggu kebelakangan ini.

Pada masa sama, kadar peningkatan kes baharu di negara maju jauh lebih rendah atau stabil berbanding negara berpendapatan menengah dan rendah.

Di Asia Tenggara khususnya, kes harian meningkat tiga kali ganda daripada jangkitan pada Mac lalu.

Mengapa? Apakah penduduk negara maju lebih berilmu dan bertamadun berbanding negara lain atau ada faktor lain yang membantu?

Itu persoalan yang diajukan oleh seorang Pensyarah Perubatan dan Ketua Unit Kesihatan Awam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu.

Jumlah vaksinasi dunia setakat 17 April lalu direkodkan berjumlah 751 juta orang. Manakala kadar liputan vaksin tertinggi ialah di Israel iaitu 61 peratus, United Kingdom 48 peratus dan Amerika Syarikat 38 peratus.

Dari segi kadar jangkitan dalam komuniti di United Kingdom dan Israel ialah 20 kes bagi 1 juta rakyat berbanding negara di Asia Tenggara.

Kadar kebolehjangkitan (Rt) juga rendah iaitu di bawah 1.0 bagi kedua-dua negara tersebut.

Ini jelas menunjukkan bahawa pengurusan pandemik mesti berdasarkan data dan fakta kajian terkini serta kesan langsung keberkesanan program vaksinasi bagi mengurangkan jangkitan dalam komuniti.

Kepada golongan anti vaksin pula saya tegaskan bahawa data dan fakta kajian usah dinafikan. Berpijaklah di bumi yang nyata. Terimalah vaksin demi kebaikan semua.

Jika anda tidak menerima vaksin, andalah yang dipersalahkan dan perlu bertanggungjawab jika membawa dan menyebarkan Covid-19.

Kita di Malaysia tidak boleh lagi menuding jari kepada mana-mana pihak dalam hal ini. Perkara asasnya adalah diri kita sendiri yang perlu dikawal.

Jangan juga menjadi batu api, memburukkan lagi keadaan. Segalanya mahu dikritik. Elakkan diri kita bersikap – buat pun salah, tak buat pun salah, semua jadi masalah.

Hindarkanlah diri daripada berkumpul ramai-ramai atau ke tempat-tempat yang ramai khalayak.

Tahanlah diri untuk waktu ini walau tidak dapat pulang berhari raya. Nyawa itu lebih penting. Jangan pula kita menjadi punca kepada kehilangan nyawa orang lain.

Atau kita mahu melihat situasi lebih buruk seperti dialami di India? Tepuk dada, tanya diri kita.

Sebagai orang Islam, inilah masanya untuk kita lebih bertaqwa kepada Allah SWT, bermunajat, memohon doa, menolak bala bencana wabak Covid-19 ini setiap masa.

Bukan hanya sekadar apabila kes semakin naik mendadak, baru ingat nak berdoa dan melakukan solat hajat.

Kuatkan mental untuk hadapi dugaan ini. Jangan lupa, wabak ini juga adalah satu ujian penilaian daripada Allah kepada setiap umat Islam jika kita berpegang teguh kepada keimanan kita terhadap Sang Pencipta.

  • Penulis adalah Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ketua Pemuda Bahagian Merbok. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9

Latest News

Perancah besi di Lebuh Raya DASH jatuh, dua pekerja cedera

CYBERJAYA - Dua pekerja pembinaan dipercayai cedera selepas perancah besi atau ‘scaffolding’ lebuh raya yang sedang dalam pembinaan runtuh...

More Articles Like This