24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Penyelesaian Dua Negara bukan dasar luar baharu PN

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh SAIFUL HAFIZ ISMAIL
HAK pelarian Palestin untuk kembali ke tanah air mereka termaktub dalam Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu ”membenarkan pelarian yang ingin kembali ke kediaman mereka, hidup damai bersama jiran mereka dan diberikan pampasan”.

Resolusi 194 pada asalnya diterima oleh Perhimpunan Agung PBB pada 11 Disember 1948 dengan majoriti 35 undi daripada 58 negara anggota dengan 15 suara menentang dan 8 menolak.

Resolusi yang merupakan kesepakatan sejagat tersebut, ditegaskan kembali oleh Majlis Keselamatan PBB dalam Resolusi 237 pada tahun 1967 dan Resolusi 169 Perhimpunan Agung PBB pada tahun 1980.

Pada tahun 2002, Inisiatif Perdamaian Arab membicarakan ‘penyelesaian adil’ untuk pelarian sesuai dengan Resolusi 194. Bagaimanapun, pelbagai usaha masyarakat antarabangsa dalam mencari jalan keluar yang tepat untuk masalah tersebut kebanyakannya tidak berjaya setakat ini.

Resolusi tersebut, khususnya Artikel 11 juga dinyatakan dalam Resolusi 302 PBB bagi menubuhkan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) – sebuah agensi yang diberi mandat memberikan bantuan dan perlindungan kepada jutaan pelarian Palestin.

Dalam Perhimpunan Agung PBB Ke-66 pada tahun 2011, negara-negara anggota mengulangi seruan agar negara-negara yang berkemampuan menyumbang kepada Dana Umum UNRWA.

Ini akan membolehkan UNRWA meneruskan tugasnya sehingga penyelesaian yang adil dan berkekalan untuk pelarian Palestin tercapai, antara lain hak mereka untuk kembali ke tanah air sendiri dan menerima pampasan selaras Resolusi 194.

Sebanyak 35 negara anggota menyokong Resolusi 194 iaitu Argentina, Australia, Belgium, Brazil, Kanada, China, Colombia, Denmark, Republik Dominika, Ecuador, El Salvador, Ethiopia, Perancis, Greek, Haiti, Honduras, Islandia, Liberia, Luxembourg, Belanda, New Zealand, Nicaragua, Norway, Panama, Paraguay, Peru, Filipina, Afrika Selatan, Sweden, Thailand, Turki, United Kingdom, Amerika Syarikat, Uruguay, Venezuela.

Manakala 15 negara anggota telah menentang iaitu Afghanistan, SSR Byelorussian, Cuba, Czechoslovakia, Mesir, Iraq, Lebanon, Pakistan, Poland, Arab Saudi, Syria, Ukraine, Soviet Union, Yemen, Yugoslavia dan 8 negara anggota berkecuali iaitu Bolivia, Burma, Chile, Costa Rica, Guatemala, India, Iran, Mexico.

Dasar luar Malaysia sentiasa tegas pertahan Palestin

Dasar luar Malaysia terhadap Palestin tetap teguh dan konsisten sejak beberapa dekad lalu sesuai dengan prinsip keadilan dan undang-undang antarabangsa.

Banyak negara termasuk Malaysia mengiktiraf Deklarasi Kemerdekaan Palestin yang mengisytiharkan penubuhan Negara Palestin pada 15 November 1988.

Bagaimanapun berikutan tindakan Israel yang tidak berperikemanusiaan dan mengabaikan secara terang-terangan undang-undang antarabangsa, Malaysia mengulangi pendiriannya pada awal tahun 2002.

Malaysia menegaskan jalan keluar untuk menamatkan konflik Palestin-Israel ialah melalui penyelesaian dua negara iaitu Palestin dan Israel hidup berdampingan secara damai berdasarkan pra-1967 dengan Jerusalem Timur (Baitul Maqdis) sebagai ibu kota Palestin.

Pada sesi pembukaan Persidangan Sejagat Organisasi Masyarakat Sivil Mengenai Keamanan di Palestin pada 28 Mac 2005, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan pendirian Malaysia;

The global community supports a two-state solution – an independent, sovereign Palestinian State, alongside Israel. This is by no means without a monumental sacrifice on the part of the Palestinians. They would have to give up 78% of historical Palestine – a point that Israel and its supporters should not fail to appreciate.

‘’This two-state solution must include East Jerusalem as the capital of an independent and sovereign Palestine. The state of Palestine should comprise no less than Gaza and the West Bank. The principle of the right of return for Palestinians must be respected. There will be no just and enduring solution of the Israeli-Palestinian conflict unless the two central issues, namely East Jerusalem and right of return, are satisfactorily resolved.”

Dengan berbuat demikian, Malaysia menjunjung prinsip hak penentuan nasib sendiri dalam sistem multilateral sebagai salah satu prinsip teras PBB apabila mengulangi sokongan kuat kepada rakyat Palestin untuk bebas daripada penjajahan Israel.

Dalam memperjuangkan agenda Palestin, Malaysia sentiasa lantang dan tegas apabila menyatakan pendirian di PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), terbaru ketika Sesi Ke-75 Perhimpunan Agung PBB pada tahun 2020.

Semasa menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB pada tahun 2015-2016, Malaysia secara konsisten menyuarakan sokongan terhadap perjuangan Palestin untuk mewujudkan sebuah negara yang bebas dan berdaulat.

Advertisements

Inisiatif terakhir membuka jalan untuk penerapan Resolusi 2334 pada bulan Disember 2016 yang menyaksikan Malaysia mengemukakan draf resolusi mengenai isu Palestin-Israel bersama dengan New Zealand, Senegal dan Venezuela.

Sebagai anggota pengasas OIC, Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam menangani isu Palestin di forum antarabangsa.

Semasa Jawatankuasa Enam Anggota OIC di Palestin di New York pada tahun 2000, Malaysia menyahut seruan Setiausaha Agung OIC untuk bersama dalam memastikan proses perdamaian di Asia Barat iaitu melalui pelaksanaan semua resolusi antarabangsa yang sesuai dengan Resolusi 194 tahun 1948 dan Resolusi Majlis Keselamatan 242 tahun 1967.

Dalam Mesyuarat Menteri NAM 2006, para menteri menegaskan tanggungjawab PBB menyelesaikan isu Palestin dengan menggunakan resolusi sesuai undang-undang antarabangsa termasuk Resolusi 194.

Mesyuarat itu juga menyeru PBB meningkatkan usaha mencapai perdamaian komprehensif berdasarkan penyelesaian dua negara dengan memastikan hak rakyat Palestin di negara yang merdeka dan berdaulat.

Di peringkat akar umbi, Malaysia terus memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin melalui kerajaan, organisasi multilateral dan badan bukan kerajaan (NGO). Malaysia juga menjadi penyumbang UNRWA.

Sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah, sejarah dan identiti nasional mereka, OIC menegaskan sokongan penuh kepada rakyat Palestin.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Perwakilan Tetap OIC pada mesyuarat tergempar secara maya pada 11 Mei 2021 menekankan perlunya perdamaian berlaku sejajar dengan prinsip-prinsip antarabangsa seperti resolusi PBB dan Inisiatif Damai Arab 2002 untuk penyelesaian dua Negara.

Jawatankuasa tersebut juga mendesak masyarakat antarabangsa bertindak secara efektif bagi mencari jalan keluar untuk pelarian Palestin mendapat kembali hak mereka sesuai dengan resolusi antarabangsa, khususnya Resolusi 194.

OIC juga telah memutuskan mengadakan pertemuan tergempar semalam (16 Mei) atas permintaan Kerajaan Arab Saudi sebagai Ketua Sidang Kemuncak Islam bagi membincangkan konflik yang tercetus.

Pada April lalu, OIC menyambut baik kenyataan Presiden AS, Joe Biden berhubung komitmennya terhadap penyelesaian dua negara sebagai asas untuk menyelesaikan isu Palestin-Israel serta penyambungan semula bantuan kepada Palestin.

Semasa Sesi Ke-45 Majlis Menteri Luar Negeri di Dhaka, Resolusi No. 1/44-Pal mengenai Persoalan Palestin 2018, OIC telah menegaskan kembali komitmennya untuk perdamaian yang adil dan komprehensif di Asia Barat.

Mereka menekankan bahawa proses perdamaian tidak dapat dipisahkan daripada pengunduran Israel dari Wilayah Palestin yang diduduki bagi membolehkan rakyat Palestin mendapat kembali hak nasional, termasuk kembali ke kediaman mereka.

Sidang Kemuncak Islam Luar Biasa Ke-7 di Istanbul, Turki pada 18 Mei 2018 juga mencerminkan sokongan jelas OIC terhadap perjuangan Palestin apabila menyatakan adalah penting masyarakat antarabangsa terus mengukuhkan sistem multilateral dalam mencari penyelesaian yang adil dan berpanjangan untuk isu Palestin-Israel.

Pendirian Malaysia mengenai penyelesaian ini juga ditegaskan oleh Perdana Menteri Ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika Persidangan Antarabangsa Mengenai Persoalan Palestin- “Sokongan Rantau Asia Tenggara terhadap Hak rakyat Palestin” pada 28 Februari 2020 di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, “While Malaysia remains supportive of any genuine efforts made by any party aimed at achieving a just and comprehensive peace to the Palestine-Israel conflict, Malaysia stands by its position that the creation of an independent State of Palestine through a two-State solution based on the pre- 1967 borders, with East Jerusalem as the capital of Palestine is acceptable.”

Pendirian Malaysia tersebut merupakan ketetapan bersama 55 negara anggota OIC dan 120 negara anggota NAM.

Oleh itu penyelesaian dua negara bukanlah dasar luar baharu kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi pendirian konsisten Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat yang mengganggotai badan multilateral seperti PBB, OIC dan NAM sejak dulu lagi.

  • Penulis adalah penganalisis isu-isu antarabangsa

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan