25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kes naik mendadak, HPKK UKM pula dijadikan hospital Covid-19

Mesti Baca

CYBERJAYA – Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) akan dijadikan hospital Covid-19 bagi menampung peningkatan mendadak kes di Lembah Klang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, HPKK UKM merupakan hospital pengajar yang baru siap dibina dan terletak bersebelahan dengan Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Beliau berkata, hospital tersebut mempunyai kapasiti 243 katil termasuk 28 katil rawatan kritikal atau ICU saiz dewasa yang berpotensi digunakan sementara sebagai hospital yang merawat COVID-19 khususnya mereka dengan gejala yang serius.

“Melalui Seksyen 3 and 4 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia dapat melaksanakan pemilikan sementara bangunan dan permintaan penggunaan sumber (termasuk sumber manusia) hospital pengajar dan swasta bagi maksud menangani wabak Covid-19 ini,” katanya.

Noor Hisham menyatakan demikian menerusi hantaran dalam Facebooknya, semalam.

Beliau berkata, pada masa kini seluruh negara mengalami peningkatan kemasukan ke ICU di seluruh negara sebanyak 60 peratus dalam tempoh dua minggu lalu.

Jelas beliau, di Lembah Klang sahaja telah mencatat peningkatan lebih tinggi iatu 94 peratus berbanding tempoh yang sama.

“Kadar penggunaan katil ICU di hospital-hospital di Lembah Klang kini adalah melebihi 100 peratus,” tegas beliau.

Katanya, pihak pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan dan Universiti Kebangsaan Malaysia telah bertemu dan berbincang untuk menggunakan HPKK UKM sebagai hospital Covid-19.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada UKM di atas segala kerjasama yang diberikan. Semoga dipermudahkan segala urusan dalam menangani pandemik Covid-19,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, Noor Hisham berkata, kadar penggunaan katil ICU Covid-19 di Lembah Klang secara keseluruhannya telah mencecah 113 peratus.

Manakala di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, angka tersebut telah mencecah 117 peratus.

“Hospital-hospital KKM kini terpaksa menukar fungsi (repurpose) lain-lain kawasan di dalam hospital seperti wad biasa untuk dijadikan ICU sementara dengan melengkapkan katil-katil dengan peralatan perubatan tertentu.” katanya. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan