25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Membentuk dasar kerajaan dari perspektif swasta

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

HARI ini, saya dijemput oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Kementerian Sumber Manusia dengan tujuan untuk berbincang tentang isu-isu pembiayaan pinjaman pelatih kemahiran.

Khabarnya juga, mungkin akan ada beberapa pengumuman penting kepada semua persatuan berhubung perkara tersebut yang mungkin juga hasil pertemuan penulis dengan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim, baru-baru ini.

Penulis sepatutnya tidak perlu hadir kerana penulis sendiri bukanlah pusat latihan yang mempunyai banyak kepentingan di PTPK. Seingat penulis, sepanjang PTPK beroperasi sejak tahun 2005, hanya dua kali sahaja pelatih pusat latihan kami mengambil kemudahan PTPK. Kami mempunyai sumber pembiayaan yang berbeza iaitu selain PTPK.

Namun penulis mengambil keputusan untuk hadir kali ini kerana ada sesuatu yang perlu didengari dan disampaikan dalam mesyuarat kali ini setelah melihat situasi negara kini dan ramalan masa depan yang sangat mencabar. Pendek kata, kepentingan negara mengatasi keperluan peribadi.

Sekadar pencerahan, penulis ingin menceritakan sedikit latarbelakang PTPK ini yang penulis sendiri antara yang bertungkus-lumus memastikan penubuhannya kira-kira dua puluh tahun lalu.

PTPK adalah antara agensi yang ditubuhkan selepas peristiwa yang kami sebut sebagai ‘The Nightmare of MLVK’ yang berlaku pada tahun 2003.

Ketika itu, lambakan pusat latihan di bawah Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) telah mengakibatkan berlakunya ketidak seimbangan antara jumlah pusat latihan berbanding peruntukan Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK) yang begitu terhad.

Kesannya, banyak pusat latihan yang gulung tikar dan bankrap kerana menanggung kerugian. Tiada siapa yang tidak terkena tempias, termasuk penulis sendiri.

Dalam keadaan berserabut itulah, penulis mencadangkan satu pembaharuan serta-merta perlu dilakukan.

Maka tiga pelan strategik utama telah dicadangkan iaitu menyatukan semua pusat latihan di bawah satu persatuan, menyusun semula MLVK dan memperbadankan TPK dengan mengambil model PTPTN.

Penulis bergabung dengan NGO merayu supaya dana PTPK tidak dikurangkan pada tahun 2013.

Pada tahun 2004, penulis telah menjadi Pengerusi Penaja Persatuan Pusat-Pusat Bertauliah MLVK Swasta Malaysia yang kini dikenali sebagai Persekutuan Pusat-Pusat Bertauliah JPK Swasta Malaysia (FEMAC).

Sebahagian besar pusat bertauliah MLVK ketika itu menjadi ahli persatuan ini sehingga diperakukan sebagai badan induk penting yang turut menganggotai pelbagai jawatankuasa berkaitan hingga kini.

Penstrukturan semula MLVK kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) pula adalah penjenamaan baru MLVK yang imejnya ketika itu sangat tercalar selepas peristiwa The Nigtmare Of MLVK 2003.

Setelah beberapa kali berbincang dengan Dato’ Yahya Nordin, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia dan Dato’ Wan Seman, Ketua Pengarah MLVK ketika itu, kami bersetuju supaya satu konvensyen diadakan di Awana Genting Highland pada tahun 2004 untuk mencari formula baru program latihan kemahiran MLVK masa depan.

Konvensyen yang menghimpunkan hampir 2,000 peserta itu telah berjaya merumuskan beberapa cadangan strategik baru menuju masa depan. Penulis sendiri diberi banyak ruang dalam konvensyen tersebut untuk meyakinkan peserta supaya menyokong langkah pembaharuan yang bakal dilaksanakan.

Maka wujudlah Akta Pembangunan Latihan Kemahiran Kebangsaan (NASDA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia selepas konvensyen itu.

Advertisements

Manakala TPK yang dahulunya hanyalah sebuah jabatan yang diketuai oleh pegawai bertaraf Setiausaha Bahagian telah dinaiktaraf sebagai perbadanan yang bergelar PTPK pada tahun 2005.

Melalui platform persatuan, penulis terpaksa melakukan pelbagai kerja dari perspektif NGO untuk memastikan kerajaan akan menubuhkan PTPK dengan mengambil model Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) supaya PTPK tidak terlalu bergantung kepada dana Kementerian Kewangan semata-mata.

Namun, proses itu bukanlah mudah kerana banyak siri perbincangan yang perlu dibuat bagi meyakinkan kerajaan.

Penulis sendiri sering dijemput berbincang oleh pegawai yang bertanggungjawab seperti Puan Lam Lai Meng, Setiausaha Bahagian, TPK ketika itu.

Pernah beberapa kali, penulis sendiri menyertai mesyuarat di Kementerian Kewangan kerana kementerian berkenaan mahukan pandangan NGO seperti penulis sendiri terutama isu ‘corporate governance’ PTPK supaya tidak mengulangi masalah sebelum itu.

Paling tidak dilupakan ialah peristiwa seorang pegawai MOF menelefon sendiri penulis untuk memaklumkan supaya waran kelulusan pertama peruntukan interim PTPK diambil sendiri oleh PTPK.

Perkara ini berlaku kerana penulis sendiri seolah-olah sudah sebati dengan urusan PTPK dalam pelbagai mesyuarat pra-penubuhan PTPK.

Penulis mempengerusikan mesyuarat antara wakil persatuan dan pegawai-pegawai kerajaan bagi menyediakan input Rancangan Malaysia Kesebelas suatu masa dahulu.

Setiap presiden FEMAC dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah (ALP) PTPK selepas badan itu ditubuhkan kecuali penulis kerana penulis tidak mejadi presiden FEMAC selepas PTPK ditubuhkan.

Bagi menyelesaikan semua perkara di atas, penulis telah mengorbankan lebih setahun, meninggalkan sementara perniagaan, demi mengubah dan menstrukturkan semula agensi strategik berkaitan kemahiran yang lebih baik pada masa depan. Putrajaya seumoama pejabat penulis kerana sering diundang berbincang.

Di sinilah peranan NGO dan pihak swasta untuk menjadi sebahagian penyumbang penting kepada proses pembangunan dasar negara yang lebih baik.

Walaupun penat dan letih untuk menjayakan misi di atas, penulis juga dapat menimba banyak pengalaman bersama kerajaan untuk berkongsi idea, pendangan dan menjayakan dasar negara.

Itulah sebabnya, banyak idea penulis selepas itu dalam urusan lain berjaya diterjemahkan sebagai dasar yang berjaya dilaksanakan dengan baik dan mencapai matlamatnya.

Kisah kejayaan ini bakal diceritakan juga dalam artikel terdekat, bagaimana pusat latihan seperti penulis berjaya mewujudkan pula industri secara komuniti berasaskan kemahiran.

Persoalannya, apakah budaya muafakat awam dan swasta hari ini sehebat zaman sebelum ini?

Cukup, jika penulis akhiri penulisan ini dengan satu pesanan iaitu kita sedang meniti saat-saat yang amat sukar dan mencabar dengan situasi politik dan impak Covid-19 sekarang.

Jika budaya muafakat awam dan swasta seperti dulu dilunturkan, maka tunggulah saat kehancuran negara. Nauzubillahiminzalik.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan