CYBERJAYA – Afghanistan akan menjadi ‘gerbang emas’ atau laluan pintu masuk sawit dari Malaysia ke negara-negara lain di Asia Tengah.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sawit Malaysia seterusnya dihantar ke beberapa negara termasuk Turkmenistan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Kazakhstan melalui Pelabuhan Chabahar di Iran.
Menurut beliau, langkah itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk meneroka pasaran baharu sawit di rantau berkenaan.
“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi percaya persefahaman ini dicapai kerana dunia yakin dengan kualiti minyak sawit Malaysia yang premium dan sekali gus menunjukkan tindakan Sri Lanka yang menyekat import bahan mentah komoditi itu baru-baru ini tidak akan menjejaskan pasaran sawit negara malah akan membuka lebih banyak pasaran baharu di rantau yang lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Khairuddin mengulas tentang hasil pertemuan dengan Duta Besar Afghanistan ke Malaysia, Dr Mohib Rahman Spingar yang membuat kunjungan hormat ke pejabatnya pada 8 April lalu.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Ravi Muthayah; Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Mengiringi Dr Mohib ialah Ketua Kanselor, Abdul Mueen Shahid dan Penasihat Kedutaan, Naseem Khanam.

Mohd Khairuddin menambah, dalam kunjungan hormat tersebut, Afghanistan dan Malaysia menyambut baik cadangan untuk mengimport lebih banyak minyak sawit Malaysia.
“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneroka potensi dalam usaha mengembangkan eksport minyak sawit Malaysia secara langsung ke Afghanistan yang pada masa ini sebanyak 75,000 tan setahun kepada 150,000 tan setahun,” jelasnya.
Beliau memberitahu, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi untuk menjadikan Afghanistan sebagai pintu masuk eksport agrikomoditi Malaysia yang lain iaitu seperti getah, lada, koko dan kayu-kayan.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi tujuan tersebut tidak lama lagi,” ujarnya. – EDISI 9