32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Sektor agrikomoditi di wilayah Sabah diperkasa

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta kerajaan negeri Sabah mencapai kata sepakat bagi memajukan dan memperkasakan sektor agrikomoditi di wilayah itu khususnya di peringkat huluan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kerjasama yang bakal dijalinkan itu melibatkan empat sektor agrikomoditi iaitu buluh, koko, getah dan sawit.

Menurut beliau, dalam sektor buluh, kerajaan Sabah akan menyediakan tanah yang dikendalikan oleh salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri.

“Peranan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi adalah memadankan dengan syarikat swasta berkaitan buluh di peringkat hiliran bagi melengkapkan kitaran pasaran komoditi itu nanti.

“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan kerajaan negeri juga berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan Negeri Di Bawah Bayu itu sebagai pengeluar koko yang unggul.

“Justeru, suatu langkah bersepadu akan diambil oleh kedua-dua pihak bagi meningkatkan dan saiz ladang koko.

“Usaha ini dijangka dapat membantu rakyat meningkatkan pendapatan mereka lebih-lebih lagi selepas terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Khairuddin mengulas tentang kunjungan hormat beliau ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor di Kota Kinabalu pada 5 April lalu.

Kunjungan tersebut adalah rangka kerja bagi memperkukuhkan hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Sabah.

Beliau menambah, konsensus turut dicapai membabitkan Projek Transformasi Perusahaan Getah (TARGET) yang bakal diperluaskan di negeri berkenaan khusus bagi penghasilan getah krip.

“Ini bersesuaian dengan Sabah yang mempunyai ramai pekebun getah,” jelasnya.

Mohd Khairuddin memberitahu, persefahaman yang dipersetujui seterusnya adalah dalam memperkasakan promosi kemampanan dan kelestarian hutan menerusi Yayasan Pemuliharaan Hijau Sawit Malaysia (MPOGCF), sebuah yayasan di bawah agensi KPPK iaitu Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Menurut beliau, beberapa program yang signifikan telah dan sedang dilaksanakan antaranya Inventori Populasi Orang Utan Sabah, menanam sejuta pokok hutan di Lower Kawag iaitu sebahagian dari Kawasan Hutan Simpan Ulu Segama Malua dan Projek Santuari Hidupan Liar Gajah Borneo.

“Ia bakal diperkukuhkan lagi dengan aktiviti-aktiviti baharu yang berterusan,” ujarnya.

Mohd Khairuddin berkata, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap kerjasama erat yang dijalinkan dengan kerajaan negeri Sabah bakal melonjakkan lagi aktiviti ekonomi sektor agrikomoditi negara selari dengan usaha memulihara flora dan fauna negara. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan