24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

40 petugas kesihatan dijangkiti lepas 2 dos vaksin

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Seramai 40 petugas kesihatan di negara ini dijangkiti COVID-19 selepas mereka melengkapkan pengambilan dua dos vaksin.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Menurut beliau, sembilan kes dijangkiti lebih dua minggu selepas pengambilan dos kedua.

“Sebanyak 31 kes dijangkiti dalam masa kurang daripada dua minggu selepas mengambil dos kedua inokulasi.

“Seramai 142 petugas kesihatan dijangkiti selepas dos pertama,” katanya.

Dr Noor Hisham menambah, kesemuanya tidak menunjukkan gejala jangkitan yang serius.

Beliau memberitahu, situasi itu jelas menunjukkan jangkitan masih boleh berlaku selepas pengambilan dua dos vaksin namun kesannya mungkin tidak teruk.

“Tiada sesiapa pun yang selamat selagi semua orang belum selamat.

“Sila terus patuhi semua langkah berjaga-jaga yang ditetapkan untuk melindungi kesihatan awam,” jelasnya.

Dr Noor Hisham berkata, perkembangan itu juga mengingatkan semua pihak agar tidak alpa selepas menjalani proses vaksinasi.

Jumlah kes baharu jangkitan COVID-19 di seluruh negara meningkat kepada 2,551 kes semalam berbanding sebanyak 2,148 kes kelmarin.

Advertisements

Secara keseluruhan, sebanyak 370,528 kes jangkitan dicatatkan sejak COVID-19 mula melanda Malaysia.

Sarawak melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 960 kes (37.6 peratus).

Daripada jumlah itu, sebanyak 892 kes (92.9 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Ia diikuti oleh Selangor sebanyak 590 kes (23.1 peratus) dan Kuala Lumpur sebanyak 245 kes (9.6 peratus).

Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu”

Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).

Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn).

Patuhlah kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai normal baharu.

Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya.

Begitu juga, Kementerian Kesihatan akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan