34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Dana bantuan COVID-19 RM248 juta dicuri penggodam

Mesti Baca

SURABAYA – Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah nasib yang dihadapi oleh kira-kira 30,000 individu yang hilang pekerjaan setelah pandemik COVID-19 melanda Amerika Syarikat (AS).

Mereka bukan sahaja hilang mata pencarian, malah maklumat peribadi mereka dicuri oleh penggodam dari Indonesia untuk menipu program bantuan hilang pekerjaan yang diwujudkan kerajaan AS.

Kegiatan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan kerajaan AS menanggung kerugian kira-kira AS$60 juta (RM248 juta).

Memetik laporan RT, penggodam menyasarkan rakyat AS yang hilang pekerjaan semasa pandemik COVID-19 melanda.

Kemudia mereka dilencongkan ke laman sesawang palsu di mana maklumat dicuri dan digunakan untuk mendapatkan wang secara tidak sah daripada program berkenaan.

Penggodam menggunakan perkhidmatan pesanan bagi menghantar teks berunsur penipuan kepada kira-kira 20 juta orang.

Dari situ, mereka dilencongkan ke laman-laman sesawang kerajaan AS yang palsu.

Mangsa-mangsa seterusnya diminta memberi maklumat masing-masing termasuk nombor keselamatan sosial sekali gus membolehkan penggodam mencuri data peribadi mereka.

Pihak berkuasa percaya bahawa beribu-ribu rakyat AS telah memberi maklumat mereka kepada laman-laman sesawang palsu terbabit.

Mangsa-mangsa menyangka bahawa mereka memohon untuk mendapatkan wang AS$2,000 yang disediakan oleh kerajaan AS di bawah program bantuan COVID-19.

Malangnya, mereka tidak menerima wang seperti yang dijanjikan oleh program tersebut.

Namun, sindiket penipuan itu tumpas setelah berjaya dikesan oleh pihak berkuasa AS yang seterusnya menghubungi polis Indonesia.

Dua penggodam telah ditahan dua bulan lalu dan tangkapan itu diumumkan oleh polis Indonesia dalam sidang media kelmarin.

Kedua-dua suspek mungkin didakwa di mahkamah Indonesia dan tidak diesktradisi ke AS.

Mereka bakal berdepan hukuman penjara sembilan tahun sekiranya disabitkan kesalahan di bawah undang-undang maklumat elektronik.

Polis Indonesia juga memberitahu, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan seorang lagi individu yang disyaki menerima wang yang diperoleh secara haram.

Orang ramai seharusnya mengambil sikap berhati-hati apabila diminta oleh pihak lain untuk memberi maklumat peribadi mereka.

Data yang diperoleh mungkin digunakan untuk kegiatan jenayah siber termasuk penipuan, seperti yang dialami oleh kira-kira 60,000 mangsa di AS.

Segera laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki berlaku aktiviti jenayah siber termasuk penggodaman dan penipuan agar tindakan segera dapat diambil.

Terkini

Lebih 27,000 kandungan provokatif diturunkan sejak awal tahun

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang...

Lagi Artikel Berkaitan