29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

PPBM bincang isu UMNO tolak kerjasama petang ini

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan memutuskan pendirian berhubung kerjasama dengan UMNO dalam mesyuarat Majlis Tertingginya petang ini.

Walau bagaimanapun, lokasi dan masa mesyuarat tidak dinyatakan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini.

“Pendirian tersebut akan dibincangkan juga dalam mesyuarat Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan datang bersama parti-parti komponen PN yang lain iaitu PAS, STAR, SAPP dan Gerakan,” katanya.

Beliau menambah, Mesyuarat Biro Politik PPBM petang semalam yang dipengerusikan oleh Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membincangkan berkaitan surat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertarikh 26 Februari lalu.

Surat kepada Muhyiddin itu adalah berhubung keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Janda Baik, Pahang pada 19 Februari lalu.

Hamzah memberitahu, Biro Politik PPBM mengambil maklum keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang menyatakan bahawa tiada kerjasama dengan PPBM dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan kebersamaan dalam kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Sebelum ini, ramai pemimpin UMNO kerap menyuarakan pendirian mewakili majoriti akar umbi parti yang mahu parti itu memutuskan kerjasama dengan PPBM dalam PRU-15.

Cuma segelintir bekas pemimpin seperti Tan Sri Annuar Musa yang mahu kerjasama dengan parti serpihan UMNO itu dikekalkan.

Hubungan UMNO dan PPBM menjadi semakin dingin selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu dipercayai akibat isu perebutan kerusi dan pengisian jawatan Ketua Menteri.

Selain itu, UMNO dan PPBM masih belum mencapai kata sepakat berhubung pembahagian kerusi untuk PRU-15.

UMNO mahu mengambil semula kerusi-kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 termasuk kerusi Parlimen Larut yang disandang Hamzah.

Pada masa yang sama, PPBM mahu bertanding di kerusi-kerusi tradisi UMNO dan situasi menyebabkan sukar bagi kedua-dua parti untuk meneruskan kerjasama.

Walau bagaimanapun, UMNO Johor menunjukkan jiwa yang besar apabila bersedia memberi laluan kepada Muhyiddin untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh.

Situasi tersebut juga meletakkan PAS yang bekerjasama dengan UMNO dalam kerangka Muafakat Nasional dalam keadaan tersepit kerana parti itu juga menyertai gabungan PN. – EDISI 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan