24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Kami nak putuskan rantaian Covid-19, bukan nak berpolitik

Mesti Baca

KERTIH – Tak mudah untuk menyakinkan masyarakat bahawa sanitasi yang dilakukan bukan bersifat politik tetapi untuk membantu memutuskan rantaian Covid-19.

Itulah cabaran yang dihadapi oleh sukarelawan Pemuda UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik ketika melaksanakan program sanitasi di tempat tumpuan ramai.

Ketuanya, Mohamad Sutamizi Othman berkata, banyak yang beranggapan apa yang dilakukan beliau dan rakan-rakan dari Skuad Sabil dipandang serong oleh sesetengah pihak sehingga mereka dihalang daripada melakukan kerja-kerja sanitasi.

“Inilah masalah kami di sini. Mereka kata ada kerjasama antara parti, tetapi kenyataannya apabila kami nak melakukan sanitasi terutama di sekolah-sekolah ada sahaja alasan diberi untuk menghalang kami.

“Namun ia tidak sedikitpun mematahkan semangat kami untuk membantu masyarakat dalam memutuskan rantaian Covid-19 ini,” katanya kepada Edisi 9.

Beliau ditemui selepas melakukan kerja-kerja sanitasi percuma di Muzium 3D Kertih, galeri seni ilusi dan 3D pertama di Terengganu di Bandar Seri Kertih, di sini baru-baru ini.

MOHAMAD SUTAMIZI OTHMAN

Sutamizi berkata, sehingga kini pihaknya telah membuat sanitasi ke atas 32 premis termasuk Tadika KEMAS, pusat-pusat tumpuan awam dan sekolah-sekolah di sekitar kawasan DUN Kemasik.

Advertisements

Bagaimanapun beliau agak terkilan dengan sikap pengurusan sekolah-sekolah tertentu yang tidak membenarkan pihak membuat sanitasi dengan memberikan alasan-alasan yang agak tidak munasabah.

“Walaupun sudah mendapat kelulusan daripada Pejabat Pendidikan Daerah dan PIBG tapi pengurusan sekolah yang tidak benarkan.

“Macam-macam alasan mereka beri tapi kami tahu ia disebabkan oleh politik,” katanya berhubung kerjasama yang diberikan oleh sekolah-sekolah di sini.

Sutamizi yang juga Ketua Pemuda UMNO Cawangan Pekan Kertih berkata, beliau tidak kisah andai mereka tidak dibenarkan membuat sanitasi asalkan ada pihak lain yang melakukan perkara serupa.

Namun, setahu beliau hanya Pemuda UMNO yang melakukan kerja-kerja tersebut secara percuma di kawasan DUN berkenaan manakala yang lain dibuat oleh syarikat-syarikat pengawal serangga yang melakukan sanitasi berbayar.

Beliau berterima kasih kepada pihak-pihak yang memberi kepercayaan kepada sukarelawan Pemuda UMNO untuk membuat sanitasi percuma di premis mereka dan berharap masyarakat lebih terbuka menerima kehadiran mereka.

Program sanitasi itu dicetuskan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menggerakkan sayap parti itu melakukan kerja-kerja menyahkuman bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan