27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

5 kapal asing ditahan berlabuh tanpa kebenaran

Mesti Baca

JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor telah menahan lima buah kapal asing semalam di sekitar kawasan perairan Tompok Utara, Johor dalam operasi khas bagi membanteras saki-baki kapal yang dikesan berlabuh tanpa kebenaran.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kesemua lima buah kapal terbabit dengan tanda nama MT MINERVA GRACE, NEW DYNASTY, MT ALAMI SKY, MT YOLANDA, dan MT CASTOR telah ditahan antara pukul 11.50 pagi hingga 3.45 petang semalam.

Menurut beliau, kesemua kapal terbabit ditahan oleh empat buah kapal peronda dan sebuah bot Maritim Malaysia terdiri daripada KM TEGAS, KM SATRIA, KM SIBUAN, KM NIAH, dan Bot PENGAWAL 31.

“Ini menjadikan jumlah kapal dagang yang ditahan sebanyak 18 buah dalam tempoh enam hari Op Jangkar Haram dilaksanakan.

“Manakala keseluruhan tangkapan kapal dagang di perairan Johor bagi tahun 2021 ialah sebanyak 36 buah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain itu, Op Jangkar Haram berjaya mengusir sebanyak 78 buah kapal yang bersauh secara haram keluar dari perairan Malaysia.

Maritim Malaysia juga sedang memburu tujuh lagi kapal.

Nurul Hizam menambah, kesemua kapal yang ditahan itu memiliki bendera negara asing dan merupakan kapal jenis tangki.

Beliau memberitahu, kapal-kapal terbabit akan dihadapkan ke mahkamah dan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Sehubungan itu, Nurul Hizam menegaskan, Maritim Malaysia Negeri Johor menasihatkan agar semua jenis kapal yang ingin berlabuh di dalam perairan Malaysia mesti memohon dan mendapatkan kebenaran terlebih dahulu atau segera keluar dari perairan Malaysia jika enggan berbuat demikian.

Beliau berkata, Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang negara demi kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan Johor. – EDISI 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan