27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Serap petugas kesihatan kontrak ke jawatan tetap – Tok Mat

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, petugas kesihatan kontrak dan sambilan yang waktu ini sedang berkhidmat wajar ditawarkan jawatan tetap dengan kadar segera.

Katanya, mereka telah berkhidmat di waktu yang sangat sukar dan pengalaman mereka sebagai petugas hadapan sangat berharga untuk memperkuatkan sistem kesihatan awam.

“Petugas ini telah melaksanakan tugas patriotik mereka kepada negara dengan keringat dan pengorbanan tertinggi, walaupun tanpa jaminan pekerjaan tetap.

MOHAMAD HASAN

“Justeru menyerapkan mereka ke perjawatan tetap adalah sangat bertepatan dengan kompetensi, jasa dan sumbangan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

‘Beliau berkata, penelitian beberapa pakar perubatan dunia menjangkakan pandemik global yang dihadapi waktu ini dijangka berterusan sehingga 2024.

“Ini kerana walaupun vaksinasi telah bermula, tetapi vaccine nationalism oleh sesetengah negara maju menyebabkan negara membangun dan kurang membangun menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan vaksin. Sehingga waktu ini, 130 negara masih belum menerima vaksin malah tidak berkemampuan untuk membelinya,” katanya.

Tegas beliau, senario ini akan menyebabkan pandemik itu akan terus menjadi ancaman keselamatan global sehinggalah semua warga dunia mendapat immunisasi dan membangun ‘immunisasi kelompok’.

Sehubungan itu beliau berkata, Malaysia mesti mengambil pendekatan kesiapsiagaan terhadap senario ini dan sektor perkhidmatan kesihatan mesti diperkasakan dengan berganda dan tanpa berlengah.

“Perjawatan baru mesti segera diwujudkan. Permohonan perjawatan tambahan yang di kemukakan pada Oktober 2020 diharap telah diluluskan dan diisi,” katanya.

Beliau berkata, sukarelawan yang terdiri dari pesara dan pelbagai segmen masyarakat yang lain pula mesti terus dilatih dan berada dalam ‘data base’ KKM agar mereka boleh dimobilisasikan segera dalam keadaan yang genting dan kritikal.

“Sistem kesihatan kita telah berfungsi dengan baik di sebalik segala tekanan luar jangkaan kerana merebaknya wabak corona ini. Semua ini kerana dedikasi dan kerja keras semua petugas kesihatan, sama ada tetap, kontrak dan sukarelawan. Sumbangan mereka sangat luar biasa,” katanya.

Mohamad menegaskan, tugas seterusnya ialah memperkuatkan sistem kesihatan dengan menambah dan mengisi segala keperluan perjawatan, membawa bakat terbaik menyertai KKM, latihan berterusan bagi membangun kompetensi petugas kesihatan dan menyediakan kemudahan kesihatan komprehensif yang lebih banyak.

“Kerajaan mesti menyegerakan semua ini demi Malaysia yang lebih siap siaga, selamat dan sejahtera,” katanya. _ Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan