27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Mildef hasilkan HMAV 4 x 4 Malaysia yang pertama

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) telah membantu Mildef International Technologies Sdn Bhd menghasilkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (4×4) (HMAV 4×4) pertama di Malaysia.

Kementerian Pertahanan melalui laman Facebook rasminya berkata, Mildef merupakan sebuah syarikat tempatan yang menyediakan perkhidmatan automotif untuk industri pertahanan manakala STRIDE dan ATM bertindak sebagai penasihat bagi reka bentuk termasuk pembangunan kenderaan mengikut aplikasi standard ketenteraan.

Usaha yang dijalankan oleh pihak Mildef sejak empat tahun lalu bertujuan untuk menyelesaikan cabaran sokongan yang bergantung kepada pembekal antarabangsa.

Selain itu, ia membantu aset pertahanan dalam usaha memantapkan pertahanan negara untuk masa akan datang dengan menggunakan teknologi dan kepakaran tempatan.

MIldef
Tempat duduk dalam HMAV 4×4 ini berupaya menyerap kesan letupan periuk api. Gambar: Air Times

“Dilengkapi dengan fungsi artileri, grenad dan anti periuk api, ia turut dipasang dengan tenggekan senjata kawalan jauh atau Remote Control Weapon Station (RCWS) yang membolehkan turet senjata kenderaan itu menembak secara 360 darjah semasa bergerak.

“HMAV4x4 juga mampu bergerak pantas di atas pelbagai bentuk muka bumi malah boleh mencapai kelajuan 110 kilometer sejam,” kata Kementerian Pertahanan.

Kementerian Pertahanan berharap usaha itu dapat memberikan suntikan baru dalam penghasilan teknologi tempatan setaraf peringkat antarabangsa terutamanya dari aspek ketenteraan.

Merujuk kepada laman sesawang Mildef, kenderaan berperisai HMAV 4×4 yang direka khusus untuk operasi tinjauan di medan menepati standard dan spesifikasi yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kenderaan itu juga telah dianugerahkan pensijilan NATO Stanag 4569.

Reka bentuk pintu belakang yang turut merangkumi sistem hidraulik menjadikan HMAV 4×4 kenderaan berperisai yang berkecekapan tinggi.

Ramp berhampiran pintu membolehkan kru masuk dan keluar dari kenderaan berperisai itu tanpa berdepan risiko terjatuh.

Mildef juga memiliki hak eksklusif untuk menggunakan enjin Caterpilar iaitu yang paling lasak di pasaran.

Kenderaan berperisai itu merupakan pilihan yang ideal untuk perlindungan balistik dengan Stanag 4569 Balistik dan Artileri Tahap 2.

Kerusinya berupaya menyerap letupan periuk api selain perlindungan Stanag 4569 tahap 2B pada bahagian bawah kenderaan serta perlindungan badan kenderaan Stanag 4569 tahap 2A.

Nisbah kuasa berbanding berat adalah 25 kuasa kuda per tan. – EDISI 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan