24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Majlis Peguam sifatkan pandangan Tommy tidak tepat

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Majlis Peguam Malaysia berpendapat apa yang diperkatakan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas menerusi bukunya, My Story: Justice in the Wilderness mengenai ketidakmampuan sikap, komitmen dan dedikasi pegawai Jabatan Peguam Negara (AGC), adalah tidak tepat.

Presiden Majlis Peguam Salim Bashir dalam kenyataan hari ini berkata, perkara yang dinyatakan Tommy dalam buku itu adalah pendapat beliau sendiri dan tidak mewakili pandangan Majlis Peguam.

Majlis Peguam tegas beliau, mempunyai hubungan profesional yang baik dengan pelbagai peringkat serta bahagian di AGC, dan sikap profesionalisme yang ditunjukkan oleh pegawai di jabatan berkenaan adalah sangat baik dan cekap.

Justeru katanya Majlis Peguam berpendapat adalah tidak tepat untuk melabelkan keseluruhan jentera AGC sebagai tidak kompeten dan tidak bersemangat maju serta tidak berdaya saing berbanding peguam swasta.

“Tahap kompetensi yang ditunjukkan oleh pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara, khususnya Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Persekutuan dalam mengemudi sesuatu kes sangatlah membanggakan dan memperlihatkan tahap kebolehan yang baik dan cemerlang setaraf peguam-peguam swasta,” katanya.

Advertisements

Salim berkata, Thomas sebagai bekas Peguam Negara, jika ingin mengkritik, ia perlu dilakukan secara peribadi ketika beliau dalam perkhidmatan selain mengambil langkah membaiki kepincangan ketika itu dan setidak-tidaknya mengkritik dalam konteks yang membina setelah bersara.

Beliau berkata walaupun diakui ada beberapa kelemahan dalam kalangan kakitangan dan pegawai tetapi perkara itu adalah lumrah dalam setiap struktur organisasi, sama ada dalam kalangan pegawai undang-undang dalam perkhidmatan kerajaan mahupun peguam swasta.

“Kita tidak boleh membuat rumusan umum yang mencerminkan dan mengaitkan sikap setiap pegawai dan peguam dalam organisasi itu. Kami (Badan Peguam Malaysia) percaya ramai pegawai Jabatan Peguam Negara mampu dan bersedia menerima teguran dan kritikan yang dibuat dalam cara yang berhemah dan bertujuan membaiki diri supaya lebih maju,” katanya.

Salim berkata ramai hakim yang kini berada di puncak strata kehakiman di Mahkamah Persekutuan yang pernah memulakan karier di AGC.

“Hakim-hakim ini juga mampu menulis penghakiman yang bernas dan mempunyai pengetahuan undang-undang yang jitu setara yang dimiliki oleh hakim-hakim lain yang mempunyai pelbagai pengalaman terdahulu, termasuk peguam,” katanya.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan