26.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, September 18, 2021

Awas manipulasi sentimen kaum oleh ahli politik – PM

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9


KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia harus berwaspada terhadap manipulasi sentimen kaum oleh ahli-ahli politik, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bercakap pada majlis pelancaran secara maya Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 hari ini, Perdana Menteri berkata ia merupakan cabaran utama dalam hampir semua negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum.

“Pelaku politik yang cuba menaikkan saham politik masing-masing melalui eksploitasi perasaan kaum hendaklah kita elakkan,” katanya pada majlis yang disiarkan di laman Facebook Kementerian Perpaduan Negara.

Beliau berkata kerajaan sedar, rakyat Malaysia tidak akan sekali-kali mengorbankan kesepaduan sosial dan perpaduan negara yang telah dikecapi selama ini demi matlamat peribadi.

“Kerajaan juga tidak akan sekali-kali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat perpaduan negara. Berpegang kepada prinsip inilah Kementerian Perpaduan Negara telah diwujudkan bagi menggalas tugas berat memastikan agenda perpaduan nasional dijayakan,” katanya seperti dilapor Bernama.

Muhyiddin dalam ucapan kira-kira 30 minit itu berkata rakyat Malaysia khususnya petugas barisan hadapan telah membuktikan sifat empati terhadap satu sama lain tanpa mengira kaum atau agama sewaktu negara berdepan dengan krisis Covid-19.

Baca juga:   Aaron Chia-Wooi Yik buat kejutan singkir pasangan no 1 dunia

Menurutnya, sifat empati ini harus diperkukuhkan dalam masyarakat sekali gus membantu usaha mengatasi cabaran perkauman dengan lebih berkesan.

“Dalam tempoh negara berdepan wabak Covid-19 ini, saya sedar bahawa ramai dalam kalangan kita juga telah menunjukkan sifat empati sesama kita.

Baca juga:   PM persoal jumlah sebenar MP sokong Anwar

“Kita perlu terus menyuburkan sifat empati ini dalam usaha kita hendak memahami isi-isu kaum dari perspektif yang lebih seimbang dan menyeluruh. Seperti beberapa negara-negara berbilang kaum yang lain, kadangkala kita hanya melihat isu kaum dari sudut kaum atau kumpulan tertentu,” katanya.

Perdana menteri percaya perspektif ini perlu diperbaiki supaya menjadi lebih seimbang dan holistik dan harus dipupuk melalui sistem pendidikan dan media.

”Rakyat Malaysia sejak sekian lama berpegang kepada Rukun Negara. Kita percaya kepada Tuhan, kita setia kepada Raja dan negara, kita junjung keluhuran perlembagaan, kita hormati kedaulatan undang-undang dan kita sentiasa bersopan dan bertatasusila dalam pergaulan kita seharian.

“Tidak kiralah sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Melanau, orang asal atau mana-mana etnik sekalipun, bergelar warganegara Malaysia, maka inilah ciri-ciri yang wajib kita hayati,” katanya. – Edisi 9

Baca juga:   Kemenangan Ziyad dibatal, Malaysia buat bantahan balas

Terkini

Harga ayam mahal, KPDNHEP sahkan tiada pembabitan kartel

CYBERJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan tiada pembabitan pihak kartel disebalik kenaikan harga...

Lagi Artikel Berkaitan