25.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 9, 2024

Anggota polis balik bertugas maut dilanggar pemandu mabuk

Mesti Baca

KLUANG – Seorang anggota polis maut setelah motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang dipandu seorang pemandu mabuk di Kilometer 6 Jalan Kluang -Tek Wah Hing pada malam 12 Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.25 malam itu, anggota polis berkenaan, Lans Koperal Bradford Bernard menunggang motosikal dari arah Renggam.

Menurut beliau, mendiang dalam perjalanan pulang ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang setelah selesai bertugas membuat kawalan keselamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Simpang Renggam.

“Dalam kejadian tersebut, pemandu kereta telah hilang kawalan dan bertembung dengan motosikal menyebabkan penunggangnya cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media pada 13 Februari.

Mangsa yang berusia 28 tahun bertugas di Cawangan Pengiring IPD Kluang.

Abdul Razak menambah, berikutan kejadian tersebut, polis telah menahan pemandu kereta berusia 58 tahun itu.

Hasil saringan ujian nafas EBA 11 mendapati dia positif alkohol melebihi had yang ditetapkan.

Advertisements

“Suspek yang mempunyai satu rekod lampau di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda antara RM50,000 hingga RM100,00 dan penjara antara 10 hingga 15 tahun jika sabit kesalahan.

Suspek juga berdepan kemungkinan hilang kelayakan lesen memandu selama lebih 10 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan isterinya, Datin Zalena Mohd Ariffin mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang atas pemergiannya.

Nampaknya masih ada individu yang tidak bertanggungjawab memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan pengguna jalan raya yang lain terkorban.

Tahun lalu, Parlimen telah meluluskan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan agar hukuman yang lebih berat dapat dikenakan bagi pesalah yang memandu dalam keadaan mabuk.

Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang membawa hukuman lebih berat untuk kesalahan lalu-lintas khususnya berkaitan Seksyen 41 hingga 45, telah berkuat kuasa mulai 23 Oktober lalu. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2024 tawar diskaun sehingga 50 peratus

KARNIVAL Cuti-cuti Malaysia 2024 (KCCM2024) yang bakal berlangsung pas 25 hingga 27 Oktober di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala...

Lagi Artikel Berkaitan