33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Transgender tiada hak tuntut kebebasan berbuat maksiat

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Tiada hak bagi golongan transgender  untuk menuntut kebebasan melakukan maksiat di negara ini. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, jika maksiat itu mahu dilakukan secara terbuka dan mengajak-ajak pula orang lain untuk tidak takut melakukan hal yang serupa, menjadi tanggungjawab pihak berkuasa menghalang dengan mengguna pakai saluran undang-undang Syariah yang ada. 

“Hari ini, mereka tidak lagi takut-takut mahu menyorok identiti lelaki yang ditukar kepada perwatakan wanita. 

“Bahkan, ada pula yang sampai mempersoalkan apakah mereka tidak berhak bahagia dengan menjadi diri sendiri,” tulisnya di Facebook hari ini.

Ahmad Marzuk mengiringi hantaran di Facebook itu dengan keratan akhbar yang dipadam sebahagian daripada judulnya “… Mengaku Bedah Jantina.”

Walaupun tidak memetik nama tertentu secara khusus, hantaran itu dipercayai merujuk kepada personaliti kontroversi Nur Sajat atau Muhammad Sajjad Kamaruzzaman baru-baru ini.

Terdahulu, Sajat mendakwa dirinya dikasari penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sewaktu proses siasatan dijalankan terhadapnya pada 6 Januari lalu di Shah Alam, Selangor.

Dia disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 berkaitan kesalahan berhubungan dengan kesucian institusi agama.

Susulan itu, penyanyi lagu Makhluk Peggoda itu mula memuat naik beberapa siri hantaran di Instagram dan Insta Story yang mendakwa dia sedang mengalami kemurungan.

Dalam kenyataan disiarkan di media sosial itu, Sajat antaranya mengaku sudah menjalani pembedahan menukar jantina selain mempersoalkan mengapa dia tidak boleh melakukan ibadah sebagai seorang wanita.

Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Sajat (kanan) mendakwa dia dikasari penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika ditahan baru-baru ini. – Foto Bernama

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, hidup manusia di dunia ini, bukan semata-mata mahu memikirkan diri sendiri tanpa mempedulikan perasaan orang lain apatah lagi mahu memikirkan bahagia sendiri tanpa mempedulikan arahan dan larangan Allah. 

“Sifat taqwa petunjuknya adalah Al-Quran. Rujuklah Al-Quran untuk mengetahui naluri kalian itu adalah kebenaran ataupun ujian.

“Semua maksiat adalah dosa dan akan ada balasannya di akhirat kelak. Kecuali jika kita bertaubat, dan taubat itu diterima oleh Allah yang Maha Menerima Taubat,” katanya.

Kata Ahmad Marzuk, golongan lelaki yang menukar identiti kepada wanita kini sudah semakin berani mempengaruhi ramai anak-anak muda.

“Sehinggakan, mahasiswa lelaki jurusan agama pun ada yang bersolek tebal sebelum pergi ke kelas. Betapa kuatnya arus kebebasan fahaman Barat yang masuk ke dalam negara kita,” katanya.

Ahmad Marzuk turut menyeru agar nasihat dan kata-kata yang baik sentiasa digunakan bagi membantu golongan yang mempunyai masalah kekeliruan jantina untuk keluar daripada ujian.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) misalnya ada menyediakan banyak sistem sokongan untuk membantu sahabat-sahabat yang bergelut dengan kecelaruan identiti.

“Namun, jika maksiat itu mahu dilakukan secara terbuka dan mengajak-ajak pula orang lain untuk tidak takut melakukan hal yang serupa, menjadi tanggungjawab kita menghalang dengan mengguna pakai saluran undang-undang Syariah yang ada,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Marzuk memaklumkan sudah ada beberapa negeri sedang membuat semakan untuk memperkukuhkan lagi Enakmen Jenayah Syariah pada masa akan datang.

“Insya-Allah, kita akan usahakan satu demi satu dengan segenap kemahuan politik yang kita ada ada. Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah-Nya kepada kita semua,” katanya.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan