27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Sedia bahan pembelajaran pelajar elak kebergantungan pada gajet

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dicadang supaya menyediakan bahan pembelajaran untuk diambil oleh ibu bapa di sekolah seminggu sekali bagi mengelak murid dan ibu bapa terlalu bergantung kepada gajet dan Whatsapp.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, KPM diminta tidak terlalu menekan guru dengan soal pelaporan, dokumentasi serta menetapkan KPI dengan impak PDPR yang akhirnya menyusahkan pihak guru dan seterusnya menjadi bebanan pelajar dan ibu bapa.

Katanya, kerajaan terpaksa akui isu pembukaan semula sekolah semakin rumit selepas kerajaan pada 16 Januari lalu membuat keputusan ia ditangguhkan ekoran kes Covid-19 yang masih tinggi dan menunjukkan trend peningkatan.

Menurutnya, sebelum mengumumkan penangguhan sekolah semasa PKP 2.0 pada 16 Januari lalu, sewajarnya KPM menyelesaikan setiap rungutan yang dibangkitkan murid, guru dan ibu bapa semasa PKP 1.0 terlebih dahulu.

“Kerajaan sewajarnya belajar dari pengalaman yang mana sejak pelaksanaan PKP 1.0, guru dan pihak sekolah telah mengambil inisiatif untuk mengajar secara atas talian bagi memastikan pelajar tidak tercicir.

“Namun banyak jua rungutan didengari tentang kaedah itu berdepan dengan banyak kekangan sama ada di pihak guru, pelajar mahupun ibu bapa.

“Antaranya ibu bapa tidak berkemampuan menyediakan gajet seperti komputer riba dan telefon pintar kepada anak-anak, kekangan wang menyediakan data, masalah jaringan internet, kesukaran guru mengajar silibus tinggi secara maya dan lain-lain.

“Bagi sesetengah ibu bapa pula, mengendalikan pembelajaran anak secara atas talian adalah sukar kerana ramai pasangan suami isteri yang bekerja.

“Apa-apa pun saya menyanjung tinggi peranan guru dalam mendidik anak bangsa. Merekalah pembentuk generasi dan pemimpin gemilang,” tulisnya dalam hantaran Facebook hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut mencadangkan kerajaan agar menggunakan sepenuhnya satu daripada saluran televisyen milik kerajaan bagi tujuan Televisyen (TV) Pendidikan pada had masa paling optimum.

Katanya, beliau maklum kerajaan pada 6 April tahun lalu melancarkan TV Pendidikan menerusi TV Okey, Astro Tutor dan Didik TV@NTV7.

Menurutnya, ia satu pendekatan yang baik, namun pelaksanaannya hanya pada had masa tertentu.

“Dalam keadaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 2.0, saya terfikir bukankah elok jika salah satu saluran televisyen milik kerajaan digunakan sepenuhnya untuk tujuan yang sama tapi pada had masa paling optimum.

“Dalam pada itu stesen televisyen tidak berbayar juga boleh memainkan peranan untuk membantu. Kita harus akui pendidikan adalah lebih utama buat rakyat berbanding hiburan,” katanya.

Ahmad Zahid menjelaskan, tidak terkecuali, stesen televisyen berbayar boleh juga menyediakan saluran pendidikan tanpa henti sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada murid dan ibu bapa pada waktu sukar ketika ini. Slot siaran ujarnya boleh dibahagikan mengikut matapelajaran dan subjek teras untuk murid tahun 1 hingga 6 serta pelajar tingkatan 1 hingga 5.

“Pelajar dikehendaki mengikut jadual masa pembelajaran yang ditentukan KPM melalui saluran pendidikan di televisyen itu,” tambahnya.

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan