27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Maritim Malaysia tahan kapal kargo bersauh tanpa kebenaran

Mesti Baca

SEREMBAN – Gara-gara bersauh tanpa kebenaran di perairan negara, sebuah kapal kargo yang berdaftar di Ulaanbaatar, Mongolia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, semalam.

Kapal itu  ditahan kira-kira pukul 11.40 pagi pada kedudukan lebih kurang 3.9 batu nautika barat  Pulau Arang-Arang, Negeri Sembilan dekat sini.

MV Bistari yang berdaftar di Ulaanbaatar, Mongolia ditahan selepas bersauh tanpa kebenaran. Foto FACEBOOK MARITIM MALAYSIA

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, penahanan itu adalah hasil perkongsian maklumat daripada Jabatan Laut Malaysia mengenai sebuah kapal kargo yang sedang berlabuh di pelabuhan Negeri Sembilan. 

Sejurus menerima maklumat katanya, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Benteng Laut terus ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan.

Menurutnya, setibanya di lokasi, anggota Penguat Kuasa Maritim Malaysia telah membuat pemeriksaan ke atas kapal kargo tersebut iaitu MV Bistari yang berdaftar di Ulaanbaatar, Mongolia.

Advertisements

“MV Bistari dikendalikan tujuh kru termasuk nakhoda kapal yang merupakan warga Indonesia berusia antara 21 hingga 53 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kapal kargo tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran berlabuh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Kapal tersebut seterusnya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Haris Fadzillah menegaskan, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi kerjasama yang baik dengan agensi kerajaan berkaitan dalam operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

Oleh itu katanya, orang ramai diminta agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan