29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Muhyiddin pengerusikan mesyuarat pertama NEC

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang ditubuhkan oleh kerajaan akan merealisasikan strategi menjana dan mengekalkan pekerjaan selaras dengan matlamat pertama Belanjawan 2021 iaitu ‘Kesejahteraan Rakyat’.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata,  NEC bermesyuarat buat kali pertama hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, secara maya.

Muhyiddin bermesyuarat bersama Pengerusi Ganti dan Ahli Tetap NEC hari ini secara maya. Foto FACEBOOK MUHYIDDIN YASSIN

Menurut kenyataan itu, NEC berperanan sebagai majlis tadbir urus tertinggi dalam penetapan dasar, pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif kerajaan, khusus dalam mencapai sasaran mencipta lebih banyak peluang pekerjaan serta menangani isu pengangguran.

Kata kenyataan itu, penubuhan NEC juga sejajar dengan hasrat kerajaan dalam memastikan pemulihan dan rangsangan sektor ekonomi di Malaysia berjaya dilaksanakan dengan pendekatan menyeluruh, berpandukan data dan sepadan dengan permintaan industri semasa, selain mengambil kira faktor kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi negara.

Katanya, NEC juga berperanan penting bukan sahaja bagi meneruskan momentum pemulihan ekonomi dan meningkatkan penciptaan pekerjaan, malah menangani isu-isu lain yang berkaitan seperti kekurangan pekerja di sektor tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan dan penggajian.

“Majlis yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri itu selain dianggotai oleh menteri-menteri berkaitan akan turut disertai wakil sektor swasta dan industri yang akan diumumkan kelak.

“NEC akan bermesyuarat sekerap mungkin mengikut keperluan semasa,” katanya.

Selain Muhyiddin, NEC juga mempunyai Pengerusi Ganti iaitu Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan 11 menteri Kabinet sebagai Ahli Tetap.

Advertisements

Mereka ialah Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Turut tersenarai sebagai Ahli Tetap ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Pejabat Perdana Menteri berkata, NEC juga akan disokong oleh Pasukan Petugas Peringkat Tinggi dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara yang bertindak menyelaras lima Pasukan Petugas Khas peringkat jawatankuasa kerja, iaitu Pasukan Petugas Khas Pendidikan Nasional; Pasukan Petugas Khas Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET); Pasukan Petugas Khas Sumber Manusia dan Keusahawanan; Pasukan Petugas Khas Real Economy dan Pasukan Petugas Khas ‘Deeptech’ & ‘Future Skills’.

Sementara itu, Unit LAKSANA, Kementerian Kewangan akan bertindak selaku Sekretariat NEC dan memantau kemajuan pelaksanaan setiap program bawah inisiatif NEC supaya lebih efektif berpandukan penilaian yang bersesuaian dari masa ke masa.

Kata Pejabat Perdana Menteri, warganegara yang terkesan atau sedang mencari pekerjaan boleh mula mendaftar di portal MyFutureJobs https://www.myfuturejobs.gov.my/.

Ujarnya, portal itu berfungsi sebagai pusat sehenti dan rujukan utama kepada rakyat bagi inisiatif berkaitan pekerjaan, termasuk program peningkatan kemahiran dan latihan semula.

“Dengan penubuhan NEC, Perdana Menteri yakin inisiatif penciptaan pekerjaan bermula tahun 2021 dan ke hadapan akan menjadi lebih terancang dan dilaksana secara menyeluruh, bersepadu dan berkesan.

“Usaha ini akan dipandu oleh Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional yang akan dibangunkan kelak, bagi memacu Malaysia ke tahap yang lebih tinggi serta menjamin kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan