25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Mayat wanita sarat hamil ditemui terapung

Mesti Baca

LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menemukan mayat seorang wanita sarat mengandung terapung bersama bot tanpa nombor pendaftaran yang karam di perairan Langkawi, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi  Abdullah berkata, bertindak atas aduan orang awam, Maritim Malaysia menemukan mayat wanita itu pada kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika utara muara Kubang Badak, Langkawi.

Mayat yang berjaya diangkat seterusnya, dibawa ke jeti APMM Bukit Malut, Langkawi. – Foto FB MARITIM MALAYSIA

Menurut Zawawi, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 9 pagi menerusi Maritime Rescue Sub-center (MRSC) Langkawi dan telah mengarahkan Bot Petir 81 dari Ibu Pejabat Maritim Kedah dan Perlis ke lokasi kejadian.

“Pemerhatian awal mendapati mayat wanita yang sarat mengandung ditemui terapung serta terbelit pada tali sauh bot dan menyukarkan usaha membawa mayat ke atas bot Maritim Malaysia.

Advertisements

“Mayat yang berjaya diangkat seterusnya, dibawa ke jeti APMM Bukit Malut pada sekitar jam 11.40 pagi,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zawawi memaklumkan, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan mayat telah diperiksa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Langkawi sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Sehingga kini katanya, MRSC Langkawi belum menerima sebarang aduan daripada orang awam berkaitan kehilangan ahli keluarga.

“Sehubungan itu, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga diminta untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Langkawi di talian 04-9662750,” tambah beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan