KUALA SELANGOR – Musibah yang menimpa ahli keluarga seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya, semalam mendapat perhatian Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid, hari ini.
Mahdzir meluangkan masa beliau menziarah keluarga Allahyarham Ahmad Anwar Raspan, di kediamannya di Ijok.

Allahyarham Ahmad Anwar yang merupakan Juruteknik Tingkatan Kanan Metering, TNB Klang, terlibat dalam kemalangan ketika menunggang motosikal untuk ke tempat kerjanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis skuter Honda itu, dipercayai dihimpit kereta sebelum terjatuh dan digilis sebuah lori sejauh 10 meter yang tidak sempat berhenti.
Kemalangan berlaku di Jalan Puncak Alam menuju ke Meru, Klang.
Allahyarham, 34 tahun yang berasal dari Bukit Badong, Batang Berjuntai, kini menetap di Puncak Alam dan meninggalkan seorang balu dan dua orang anak yang berusia tiga dan tujuh tahun.
Dalam kunjungan itu, Mahdzir mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham sambil meluahkan rasa sedih atas kejadian tersebut yang telah meragut nyawa mangsa.
“Saya amat sedih dengan kejadian itu dan saya berharap seluruh ahli keluarga bersabar dengan dugaan yang menimpa ini.
“Saya mendoakan semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Tentu sekali pemergian arwah satu kehilangan kepada TNB,” katanya.