25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

‘Gambar diambil dari sisi’ – Pak Long Mail jelaskan kontroversi

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Selepas ‘teruk’ dikecam netizen, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam ini tampil menjelaskan kontroversi penjarakan fizikal membabitkan beliau semasa satu lawatan kerja yang dihadirinya di Melaka, Sabtu lalu.

Katanya yang mesra disapa Pak Long Mail di media sosial, beberapa gambar mengenai lawatan kerja itu menjadi bahan fitnah kononnya tiada penjarakan sosial antara beliau, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menurutnya, gambar itu berniat jahat kerana menunjukkan gambar dari sisi bagi menunjukkan kedudukan mereka tanpa penjarakan sedangkan perkara sebaliknya berlaku.

“Yang jahatnya, mereka menunjukkan gambar dari sisi bagi menunjukkan kedudukan kami tanpa penjarakan. Namun ini lah gambar sebenarnya,” tulis beliau di Facebook, malam tadi.

Semalam, tular dua gambar Ismail Sabri Yang dikatakan tidak melakukan penjarakan fizikal sekali gus menimbulkan pelbagai persepsi netizen.

Isu itu kemudiannya disensasikan portal berita termasuk pihak pembangkang  kononnya Pak Long Mail ‘melanggar’ prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal.

Mereka mendakwa nasihat dan tanda pagar #jagakita yang sering dilaung-laungkan Menteri Pertahanan itu akhirnya memakan diri sendiri. 

Sementara itu, Ismail Sabri berdoa agar Allah SWT membukakan hati-hati pihak yang telah memfitnahnya.

“Semoga Allah membuka hati-hati mereka ini supaya tidak lagi membuat fitnah kepada sesiapa jua selepas ini,” tambahnya.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan