24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Wabak rabies di Sarawak ragut satu lagi korban

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan satu lagi kematian akibat wabak rabies dalam kalangan manusia di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak pada tahun 2020 kepada lima orang atau 27 kes secara keseluruhan sejak wabak rabies diisytiharkan pada 31 Julai 2017.

NOOR HISHAM ABDULLAH – Foto Bernama

Menurutnya, kes terbaru melibatkan seorang lelaki berusia 42 tahun yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 15 Oktober kerana mengalami lemah anggota badan sehingga tidak mampu berjalan.

“Mangsa mengalami kesukaran tidur akibat halusinasi, hilang selera makan dan kesukaran minum sebelum dimasukkan ke hospital.


“Pesakit telah meninggal dunia pada 20 Oktober 2020 pukul 6.53 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, siasatan mendapati tiada sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku kepada kes ini. 


Ujarnya, pesakit ada memelihara tujuh ekor kucing di mana lima  ekor telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sehari selepas kes ini mengalami gejala. 

Advertisements


Kesemua kucing itu katanya adalah sihat dan tiada perubahan tingkah laku malah keluarga kes memaklumkan tiada haiwan yang didapati sakit atau mati dalam tempoh enam bulan di kawasan lokaliti rumah kes.

“Walaupun kes ini tidak dapat dikaitkan dengan sejarah gigitan anjing atau haiwan, secara umumnya diketahui bahawa jangkitan rabies disebabkan oleh gigitan haiwan terjangkit dengan virus rabies (rabid animal). 


“Beliau telah disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 20 Oktober 2020,” katanya.


Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Sarawak masih belum bebas rabies.


“KKM ingin menasihati orang awam agar segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berhampiran jika digigit oleh haiwan liar mahupun haiwan peliharaan dan mencuci bahagian tubuh yang digigit menggunakan air mengalir dan sabun selama sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur. 


“Pastikan haiwan peliharaan telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies. 


“KKM dan JKN Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan