IPOH – Dua individu yang dipercayai terperangkap dalam satu kejadian tanah runtuh di sebuah hotel di kawasan tanah tinggi dekat Tambun, awal pagi ini ditemukan telah meninggal dunia.
Mayat mangsa, Ooi Chee Wei, 39 dan Lee Tze Jun, 32, masing-masing ditemukan pada pukul 9.55 pagi dan 10 pagi.
“Mayat mangsa ditemukan di bilik jakuzi hotel,” kata Pemangku Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng kepada media, hari ini.
Mayat mangsa akan dibawa ke HospitalRaja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas hujan berpanjangan malam tadi di sekitar Ipoh.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 1.28 pagi.
Katanya, setibanya bomba di lokasi kejadian, didapati terdapat tanah runtuh dan dipercayai terdapat dua mangsa tertimbus.
“Mereka dipercayai seorang lelaki dan perempuan yang menginap di hotel itu.
“Anggota bomba kemudiannya sedang melakukan kerja-kerja menyelamat,” katannya yang dipetik Astro Awani.
Kenyataan itu berkata, pasukan penyelamat turut menemukan dua pasang kasut sukan dipercayai milik kedua-dua mangsa di kawasan kejadian.
Tambahnya, pihak bomba sedang giat melakukan kerja mencari dan menyelamat manakala maklumat lanjut mengenai mangsa masih disiasat.