25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Pencarum terjejas boleh keluar 10 peratus Akaun 1

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Selepas menerima desakan daripada pelbagai pihak supaya pencarum yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dibenarkan mengeluarkan wang daripada Akaun 1, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan program i-Sinar.

Melalui program itu, pencarum yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan dibenarkan mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 sehingga RM60,000.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, kemudahan menerusi program i-Sinar itu bakal memberi manfaat kepada 2 juta ahli layak dengan anggaran pengeluaran sebanyak RM14 bilion.

Katanya, bagi ahli yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1 di bawah RM90,000 mempunyai akses kepada amaun pendahuluan sehingga RM9,000.

Katanya, bagi mereka yang mempunyai simpanan persaraan dalam Akaun 1 melebihi RM90,000, akses pendahuluan yang diberi adalah 10%, bagaimanapun amaun simpanan yang boleh didahulukan adalah RM60,000.

Menurut beliau, akaun pendahuluan itu akan dikreditkan secara berkala sehingga 6 bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM4,000 bagi simpanan di bawah RM90,000 atau RM10,000 bagi simpanan lebih RM90,000.

“KWSP akan memberikan pendahuluan kepada ahli yang terjejas dengan dikreditkan dalam akuan bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat bermula Januari 2021.

”Jumlah yang diberikan itu perlu dibayar semula apabila mereka sudah mendapat pekerjaan dan mula kembali mencarum. Caruman baru itu akan dikreditkan 100% ke dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan itu digantikan semula. Selepas itu caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70% bagi Akaun 1 dan 30% bagi Akaun 2,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Advertisements

Tunku Alizakri berkata, pencarum yang layak boleh membuat permohonan mulai Disember ini dan amaun akan dikreditkan dalam akaun bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat.

‘’Pengkreditan pertama akan bermula pada Januari 2021. Amaun pendahuluan akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan bermula pada tarikh pertama pengkreditan,’’ katanya.

Beliau berkata, untuk menentukan amaun yang diperlukan untuk permohonan di bawah i-Sinar dan memastikan kelangsungan hidup semasa krisis, ahli digalakkan untuk mendapatkan nasihat kewangan melalui pegawai khidmat nasihat persaraan (RAS) KWSP atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Maklumat lebih lanjut serta butiran terperinci mengenai kelayakan i-Sinar serta terma dan syarat akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, program i-Sinar dapat meringankan beban aliran tunai serta memenuhi keperluan rakyat dalam menghadapai cabaran semasa akibat pandemik Covid-19.

‘’Program ini adalah kesinambungan kepada program i-Lestari (pengeluaran simpanan Akaun 2) yang dilancarkan pada Mac lalu,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, i-Sinar adalah hasil beberapa sesi perbincangan yang diadakan bersama kerajaan untuk memperhalusi dan menambah baik inisiatif pengeluaran Akaun 1 secara bersasar.

‘’Penambaikan ini dibuat berpandukan data dan analisis profil tanggungan ahli KWSP yang terkesan serta pertimbangan tren jangkitan Covid-19,’’ katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan