30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PKPB benarkan ekonomi dan rantaian bekalan diteruskan – KP Kesihatan

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika peningkatan penularan Covid-19 membolehkan ekonomi dan rantaian bekalan negara diteruskan tanpa gangguan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, pada masa sama, kawalan dan sekatan dikenakan ke atas sektor pendidikan dan sosial.

“PKPB membenarkan ekonomi dan rantaian bekalan diteruskan tanpa gangguan. Namun, akan adanya kawalan ke atas sektor pendidikan dan sosial,” ciapnya di Twitter hari ini.

Dr Noor Hisham selain itu menyifatkan,  usaha mengimbangi kesihatan dan ekonomi daripada Covid-19 merupakan satu tugas yang mencabar.

“Ia merupakan satu cabaran untuk melindungi dan mengimbangi antara kesihatan dan ekonomi daripada kesan Covid-19.


“Hilangnya keseimbangan bermakna hilangnya nyawa dan hilangnya mata pencarian,” tambahnya.

 
Semalam, kerajaan mengumumkan akan melaksanakan PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam, 14 Oktober 2020 sehingga 27 Oktober.


Sepanjang tempoh itu, semua penduduk tidak dibenarkan keluar rumah dan tiada pergerakan rentas daerah kecuali atas urusan kerja yang perlu mendapat surat kebenaran majikan selain kes-kes kecemasan dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil kira peningkatan kes Covid-19 dan penularan yang berlaku seperti di Klang, Petaling, Gombak dan daerah-daerah lain yang kebanyakannya telah diisytiharkan sebagai zon merah.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKPB,  kesemua sekolah, institusi pendidikan, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz juga ditutup sepenuhnya.

Selain itu, hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

“Masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain ditutup. Pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan beroperasi.

“Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan tidak dibenarkan,” tambahnya.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan