24.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 5, 2022

Politik muafakat vs politik perpecahan

Mesti Baca

Editor
Editor Edisi 9

Oleh DATUK DR ASYRAF WAJDI DUSUKI

PILIHAN Raya Negeri Sabah baru sahaja selesai. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya menewaskan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan seterusnya membentuk sebuah kerajaan negeri Sabah yang baharu.

Bagaimanapun, PRN kali ini sangat mencabar. Latar perjuangannya dipenuhi pelbagai pengalaman baharu yang cukup sukar untuk diungkapkan dan dibayangkan lantaran inilah kali pertama satu gabungan politik besar bergerak bersama, merencana dan menyelaras gerak kerja bersama dalam suasana yang sangat mencabar.

Benar, kita boleh bergerak dari premis baharu yang mana tiada lagi pihak yang dominan, kuat dan besar. Kita bersedia menerima hakikat ini seadanya. Semuanya perlu menerima normal baharu politik secara permuafakatan.

Jangan dirosakkan Muafakat Nasional hanya kerana gimik politik pemimpin tertentu.

Politik muafakat adalah berasaskan kerjasama. Kerjasama ini pula perlu memenuhi ciri-ciri asas seperti tolak ansur, hormat-menghormati, saling mempercayai, jujur, ikhlas dan menampung kekurangan orang lain dengan kekuatan yang kita ada dan begitulah sebaliknya.

Akan tetapi, mengungkapkan semua ciri dan prinsip di atas bagaikan satu teori semata-mata. Kerana melaksanakannya memerlukan iltizam dan kemahuan politik yang tinggi daripada semua pihak.

Apabila semua ciri tersebut tidak dapat dilunaskan, maka yang ada hanyalah perasaan tidak menghormati orang lain, rasa angkuh dan ego dengan kuasa yang ada, menanam ranjau di belakang biarpun senyum dan berjanji bila berdepan, tiada kejujuran, merasakan diri kita hebat dan lebih bergaya daripada orang lain dan segalanya.

Baca juga:   Xavier pula tinggalkan PKR, jadi wakil bebas sokong PN
Baca juga:   UMNO bangkit bukan kerana 'ubat mujarab' dibawa Pas

Apabila kesemua prasyarat asas bagi bekerjasama tidak dapat dilunaskan maka peluang yang terhidang adalah untuk mengena dan memijak orang lain semahunya.

Seterusnya melemah dan mendongak angkuh ke langit menggenggam tangan dan bersumpah mahu membina kekuatan baharu di atas tapak rumah, jasa dan legasi orang lain.

Rumah, jasa dan legasi yang dahulunya mendidik, membina dan menaikkan pesona sehingga dikenali dan dihormati. Kini rumah, jasa, legasi yang ditinggalkan itu mahu dilupakan jauh sekali untuk menghargai dan berterima kasih malah merencana pula untuk ‘dimusnahkan’ secara kreatif.

Muhasabah

Benar, kelihatan semuanya mungkin bagai satu ungkitan bila satu persatu dilontarkan. Tapi bukankah ungkitan itu satu fakta sejarah yang benar dan perlu direnung jika mahu permuafakatan ini dibawa terus ke depan untuk menghadapi musuh di medan yang sebenar.

Sejarah adalah satu renungan dan pengajaran dan bukannya satu ungkitan. Kerana daripada sejarah itulah kita perlu belajar supaya lebih menghargai dan menghormati orang lain kerana itulah sebenar prasyarat yang mahu didokong untuk sebuah persahabatan dan permuafakatan.

Masa masih ada, ruang juga masih terbuka untuk kita bermuhasabah. Tiada kesilapan dan kekhilafan yang tidak boleh untuk tidak dibaiki kerana perpaduan, penyatuan dan permuafakatan adalah usaha yang suci dan tulus.

Normal bersahabat ada ketika panas dan ada ketikanya sejuk. Sahabat dan teman sejati akan cuba memahami sebaiknya. Benar perlu jujur dan ikhlas, tetapi perlu juga mengambil kira dan menimbang adab dan tertib bersahabat. Secara mudah, jika tidak berselisih langsung, itu namanya kenalan, bukan sahabat.

Baca juga:   Rundingan Anwar-UMNO soal rampas kerusi Bersatu?
Baca juga:   Dera: Pengasas Rumah Bonda mengaku tak bersalah

Justeru, kembali fokus kepada objektif utama. Marilah kita sama-sama kembali merapatkan saf kerana tiada lain kita mahukan selain daripada perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

Sesungguhnya perpecahan adalah satu yang sangat mendukacitakan dan perlu dielakkan daripada berlaku.

  • Penulis adalah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Wartawan

Terkini

Sikap tak endah urus harta si mati membimbangkan

SIKAP tidak mengendahkan pengurusan harta pusaka si mati, menyebabkan banyak harta pusaka yang tidak dituntut. Menteri di Jabatan Perdana Menteri...

Lagi Artikel Berkaitan