25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Tommy Thomas iri hati, sengaja mahu perdaya rakyat?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh DATUK JALALUDIN ALIAS

PADA 24 Julai 2020, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kejayaan penyelesaian bersama Goldman Sachs di mana Malaysia mendapat AS$3.9 bilion merangkumi bayaran tunai AS$2.5 bilion dan jaminan AS$1.4 bilion nilai aset.

JALALUDIN ALIAS

Penyelesaian ini adalah satu peningkatan yang ketara sebanyak 42% jika dibandingkan dengan tawaran sebelumnya sebanyak AS$1.75 bilion yang dibuat oleh Goldman Sachs kepada kerajaan lalu pada 2019.

Tidak ubah seperti orang yang iri hati, pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengkritik penyelesaian tersebut sebagai satu lagi keputusan buruk oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas membuat kenyataan awam bahawa sewaktu pemerintahan PH, mereka telah mendesak Goldman Sachs untuk membayar AS$9.6 bilion.

Lim Guan Eng dan Tony Pua turut mengalunkan irama yang sama bahawa Tan Sri Muhyiddin telah menjual negara. Mereka membentuk gambaran jelas bahawa Malaysia tidak sepatutnya bersetuju dengan penyelesaian di luar mahkamah tetapi patut meneruskan tindakan jenayah di mahkamah.

Pada 3 Ogos 2020, Tommy Thomas telah mewarkah sepucuk Surat kepada Penyunting The Edge yang memperincikan pertuduhan beliau terhadap syarikat-syarikat Goldman Sachs dan 17 pengarahnya.

Beliau yakin akan ada sabitan kesalahan melalui perbicaraan bersama yang akan membolehkan Malaysia mendapat pampasan tinggi. Gambaran yang cuba diberi adalah Malaysia sepatutnya boleh mendapat AS$9.6 bilion jika kerajaan sekarang mengambil pendekatan beliau.

Apa yang menyusul ialah serangan dirancang terhadap Tengku Zafrul oleh penulis veteran P. Gunasegaram melalui artikelnya di MalaysiaKini “Did Zafrul Wilfully Mislead Over ‘US$3.9b’ Goldman Deal” yang cuba memaparkan Tengku Zafrul secara negatif.

Gunasegaram melakukannya dengan memetik kenyataan media Tommy Thomas bertarikh 17 Disember 2018 di mana Tommy Thomas menyatakan pertuduhan yang dibuatnya adalah bagi kesalahan memfraud.

Pada 6 Ogos 2020, saya hadir di Parlimen semasa Tengku Zafrul menyampaikan ucapan penggulungannya. Sebagai seorang ahli Parlimen, saya turut mahukan penjelasan dalam hal yang telah dicanangkan oleh pemimpin PH dan Tommy Thomas.

Saya bimbang jika kerajaan PN yang saya sokong telah memperdaya rakyat. Saya juga mahu melontarkan soalan kepada Menteri.

TOMMY THOMAS

Pendedahan daripada ucapan Menteri buat saya tergamam. Saya tidak pernah percaya bahawa Dr. Mahathir, Lim Guan Eng, Tony Pua dan Tommy Thomas dapat memperdaya rakyat Malaysia sebegitu rupa.

Bagi memudahkan pemahaman sesama rakyat, izinkan saya memperincikan pembohongan yang mereka sebarkan:

(a) PH telah menipu tentang desakan mereka kepada Goldman Sachs untuk membayar AS$9.6 bilion. Sebenarnya pada Disember 2019, Tommy Thomas mengatakan dengan jelas melalui kenyataannya sendiri – “the settlement offer that Malaysia made to GS in December was in the region of AS$4 billion, which was rejected by GS, which had counter-offered only AS$1.5 billion”;

(b) Sudah terang lagi bersuluh bahawa Tommy ‘menyembah’ Goldman Sachs dengan menawarkan penyelesaian sejumlah AS$4 bilion bukan AS$9.6 bilion yang beliau uar-uarkan.

Lebih memalukan lagi apabila dengan jumlah “rendah” sebegitu pun, Tommy tidak dapat meyakinkan Goldman Sachs.

Advertisements

Sebaliknya, mereka terus menghina beliau dengan menawar balas kurang dari separuh daripada tawaran AS$4 bilion oleh Tommy;

c) Tommy mengatakan tentang perbicaraan bersama 17 pengarah itu. Kini telah terdedah bahawa selain mendaftarkan pertuduhan terhadap 17 pengarah tersebut, Tommy tidak pun mulakan langkah-langkah untuk menyampaikan tuduhan tersebut kepada mereka yang berada di luar negara.

Sama ada Tommy sengaja tidak menyebut kesukaran teknikal proses ekstradisi atau beliau memang tidak berpengetahuan dalam aspek undang-undang jenayah ini;

d) Tommy bongkak dengan keyakinan beliau untuk mendapatkan sabitan terhadap kesemua pengarah tersebut.

Umum mengetahui bahawa Tommy adalah peguam sivil dan pada permulaan tempohnya sebagai Peguam Negara, suatu jawatan yang tidak cocok untuk dipegangi beliau, Tommy mengaku tidak berpengetahuan dalam undang-undang jenayah.

Inilah sebabnya beliau mencari sumber luar untuk mengendalikan semua pendakwaan 1MDB kepada peguam jenayah swasta. Berapa banyak kes jenayah dikendalikan sehingga beliau sangat yakin dapat menjamin sabitan apabila beliau sendiri melepaskan tugas pendakwa raya Peguam Negara?;

e) Menurut Gunasegaram, kenyataan media Tommy pada 2018 mendakwa beliau membuat pertuduhan terhadap Goldman Sachs bagi skim untuk memfraud. Ini adalah satu penipuan.

Sekarang telah terdedah bahawa Tommy menuduh syarikat-syarikat Goldman Sachs dan 17 pengarahnya di bawah s. 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 untuk kesalahan membuat pernyataan tidak benar. Tiada pertuduhan yang dibuat untuk kesalahan tipu daya untuk memfraud;

f) Tommy mengecam bahawa tiada sebab untuk mencapai penyelesaian sedangkan Tengku Zafrul menekankan “it is disingenuous of him to say we should not have done exactly what he wanted to do in the first place”;

g) Tommy memetik 2 kes kesalahan bon iaitu Aldwich dan Pesaka untuk memberi gambaran bahawa 2 kes ini akan membolehkan Malaysia untuk mendapat pampasan AS$9.6 bilion seperti yang dicanang. Indah khabar dari rupa.

Dalam kes Pesaka di mana beliau telah kalah di Mahkamah Persekutuan, penyusun utama didapati tidak bersalah.

Dalam kes Aldwich, Mahkamah Persekutuan memutuskan liabiliti bank pelaburan tersebut dihadkan kepada 50 peratus. Justeru, walaupun bergantung kepada 2 kes ini, tidak mungkin Goldman Sachs akan menanggung kesemua AS$9.6 bilion;

h) Dalam kenyataan media yang ditulis tangan oleh Tommy bertarikh 7 Ogos 2020, Tommy mengatakan dia tidak mahu mengulas perkara ini. Sebetulnya beliau telah pecah tembelang kerana menipu rakyat dengan membuat kenyataan-kenyataan hebat mengenai pencapaiannya;

i) Tommy membuat percubaan terakhir dengan menafikan beliau pernah menerima AS$1.75 bilion daripada Goldman Sachs. Tiada siapa menuduh beliau.

Pokoknya beliau memperdaya rakyat untuk percaya yang selama ini kegagalannya untuk menyelesaikan perkara ini disebabkan desakan beliau untuk mendapat AS$9.6 bilion. Sejujurnya, beliaulah dalang yang menawarkan penyelesaian sejumlah AS$4 bilion kepada Goldman Sachs. Apa lagi yang mahu ditipu, Tommy?

Faktanya ialah Tengku Zafrul serta pasukan perunding yang diketuai Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berjaya mendapat penyelesaian AS$3.9 bilion sedangkan kerajaan PH yang diketuai Tommy hanya mendapat tawaran AS$1.5 bilion yang kemudiannya dinaikkan kepada AS$1.75 bilion.

Ini jauh sekali daripada pencapaian kerajaan PN Tan Sri Muhyiddin Yassin. PH dan Tommy sekadar iri hati dan cuba menghakis kejayaan yang dicapai oleh kerajaan sekarang.

  • Penulis adalah Ahli Parlimen Jelebu. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Edisi9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan