34.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 27, 2023

Surat terbuka ahli UMNO Terengganu untuk Annuar

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Assalamualaikum,

Kenyataan Tan Sri Annuar Musa dalam ceramah bersama lima setiausaha agung di Slim River yang menyatakan UMNO Terengganu sentiasa bersikap ingin berlawan dengan Pas Terengganu amat mendukacitakan kami pendokong parti.

Setahu kami, UMNO Terengganu tidak pernah menyatakan pendirian begitu selepas Muafakat Nasional (MN) ditandatangani dan dipersetujui sebagai persefahaman bersama.

Sehinggakan apa sahaja berlaku di Terengganu, termasuk ketidakcekapan Pas dalam memacu negeri, ADUN-ADUN UMNO negeri hanya mengunci mulut sahaja dek menghormati muafakat.

Yang Berhormat Tan Sri,

Pada 12 Julai 2020, ketika program Santai Mat Moto di Paya Berenjut, Chukai, Kemaman, Exco Kerajaan Negeri Terengganu, YB Hanafiah Mat telah membuat kenyataan terbuka di program tersebut iaitu PasTerengganu akan mempertahankan 22 kerusi DUN yang dimenangi parti itu dalam PRU-15 akan datang.

Kemudian selang sebulan pula, YAB Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Shamsuri Mokhtar pula mengumumkan bahawa Pas akan mempertahankan enam Parlimen yang dimenanginya.

Kami terkejut dengan kenyataan begini sedangkan kami telah dimaklumkan oleh Presiden UMNO bahawa keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti bahawa untuk PRU-15 akan datang, tiada pertandingan tiga penjuru antara MN.

Jadi, apakah yang disebut oleh Exco Kerajaan Terengganu dan Menteri Besar selaku Naib Presiden Pas benar, sedangkan mesyuarat MN peringkat Terengganu langsung tidak pernah membincangkan perkara ini.

Malahan, kami juga dimaklumkan bahawa sehingga ke hari ini, tiada apa-apa lagi keputusan dibuat di peringkat Pusat berkenaan pembahagian kerusi untuk negeri Terengganu.

Ahmad Shamsuri Mokhtar dan Ahmad Said

Kami sebagai pencinta dan ahli parti UMNO yang setia, sudah tentu merasakan pengumuman oleh pimpinan Pas ini adalah bersikap provokasi dan cuba menidakkan UMNO untuk bersama-sama membangunkan negeri, dalam erti kata muafakat selepas PRU-15.

Oleh demikian, kami mendesak agar Pengerusi Perhubungan kami, YB Datuk Seri Ahmad Said mengeluarkan kenyataan balas agar menenangkan ahli-ahli UMNO seluruh Terengganu yang resah dengan kenyataan provokasi pemimpin-pemimpin Pas ini.

Maka dengan itu, Datuk Seri Ahmad Said pertama kali mengumumkan bahawa UMNO Terengganu sedia untuk bertanding di semua kerusi DUN dan Parlimen di Terengganu sekiranya Pas meneruskan keputusan tanpa rundingan ini.

Salah kah Pengerusi kami menjawab cabaran pemimpin Pas tersebut begitu?

Yang Berhormat Tan Sri,

Untuk makluman Tan Sri juga, kami ahli-ahli UMNO Terengganu turut mendesak agar dalam sidang Dewan Undang Negeri (DUN) awal Ogos baru-baru ini, ADUN-ADUN UMNO perlu berperanan sebagai ejen mengimbangi ketidakcekapan kerajaan negeri waktu ini.

Pelbagai isu rakyat perlu diberi pembelaan termasuk perihal pemilikan tanah, isu GLC dijarah oleh VIP-VIP tertentu sahaja dan sikap ‘double standard’ kepada parti UMNO pada masa kini.

Akhirnya persidangan DUN kali ini lebih disenangi rakyat kerana ADUN-ADUN UMNO menjadi pembela mereka seterusnya berperanan sebagai wakil suara majoriti ketidakpuasan hati rakyat Terengganu.

Apakah ini dilihat sebagai melawan Pas dalam platform demokrasi negeri yang hanya berlangsung tiga hari? Kalau begitu siapa lagi yang ingin membela rakyat?

Yang Berhormat Tan Sri,

Kami UMNO Terengganu tidak meminta lebih, kami hanya menyuarakan apa yang ahli dan rakyat perlukan.

Dewan Undangan Negeri Terengganu. – Foto TeganuKita

Seingat kami, Pengerusi Perhubungan dan kepemimpinan UMNO Terengganu hanya menyuarakan pandangan berkenaan survival UMNO negeri dalam mesyuarat tertutup sahaja, termasuk bersama pemimpin-pimpinan Pusat.

Tidak pernah sama sekali kami membelakangi Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi di dalam membuat tindakan politik di Terengganu walaupun kami ditekan saban hari oleh kepimpinan YAB Datuk Seri Dr Shamsuri Mokhtar termasuk ramai ahli-ahli UMNO kita yang kehilangan kerja.

Kami juga sentiasa menjunjung prinsip wala’ dan thiqoh di dalam gerak kerja amali sebagai sebuah pasukan parti yang sentiasa bergerak sederap.

Oleh demikian, Yang Berhormat Tan Sri,

Kalau UMNO Terengganu hanyalah cebisan sahaja di mata Tan Sri kerana sumbangan kami paling banyak pun untuk parti hanyalah lapan Parlimen kalau dibandingkan 222 Parlimen di seluruh negara.

Ketahuilah Tan Sri, sepanjang kekalahan UMNO 22 bulan dan enam bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kami telah mengemblengkan tenaga untuk menguatkan parti dan sehinggakan kini seramai 214,371 ahli UMNO Terengganu mendaftar sebagai pemilih berbanding 741,704 orang pemilih pilihan raya akan datang.

Daripada 30 peratus keseluruhan pemilih ini sekurang-kurangnya sudah mampu menyumbangkan kemenangan majoriti di 23 DUN dan enam Parlimen dengan mempengaruhi 25 hingga 35 peratus pengundi atas pagar di Terengganu.

Justeru, kami berharap Yang Berhormat Tan Sri bersifat adillah sebelum menghukum anak sendiri yang sememangnya perlu pembelaan daripada Tan Sri sendiri.

Sekian, terima kasih.

Ahli UMNO Terengganu Yang Setia

  • Dipetik dari Facebook Ghazali CN

Terkini

1MDB: Mahkamah tolak permohonan Najib ketepi injunksi

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan injunksi Mareva yang diperoleh 1Malaysia Development...

Lagi Artikel Berkaitan