25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Maritim gagalkan seludup Murai, seorang maut tertembak

Mesti Baca

KOTA TINGGI – Ekoran berusaha mengelak daripada ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) seorang penyeludup burung murai dari negara jiran maut tertembak selepas bergelut dengan anggota keselamatan itu.

Dalam kejadian di perairan Tanjung Kelesa, Bandar Penawar itu,  mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Pusat Kesihatan Tanjung Sedeli.

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana (M) Nurul Hizam Zakaria berkata, insiden berlaku apabila bot ronda yang sedang melaksanakan Op Benteng Laut 1/2020 menemui dua buah bot fiber antara pukul 1.30 pagi dan 2.15 pagi di kedudukan 2.0 dan 2.1 batu nautika di utara Tanjung Kelesa.

Lokasi kejadian.

Menurut Nurul Hizam, bot pertama yang ditahan menemui dua lelaki warga tempatan manakala bot kedua pula dinaiki tiga lelaki warga Indonesia dengan kesemua tahanan berumur lingkungan 40 hingga 62 tahun.

Ketika bot pertama ditahan, pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa muatan lebih kurang 90 bakul berisi burung Murai Batu dan Murai Kampung yang sedang menunggu sebuah lagi bot yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Katanya, sejurus bot kedua dari Indonesia tiba, anggota Maritim Malaysia bertindak melompat ke dalam bot tersebut untuk pemeriksaan. 

Namun menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot tersebut terus memecut laju dan mengemudi secara berbahaya serta cuba melanggar bot ronda Maritim Malaysia.

 “Situasi yang kritikal dan mengancam keselamatan nyawa serta aset menuntut anggota penguat kuasa bertindak melepaskan tembakan amaran berdasarkan Rules of Engagement penggunaan senjata api.

Advertisements

“Dalam usaha untuk memberhentikan bot tersebut telah berlaku pergelutan dan tekong bot bertindak agresif dengan cuba merampas senjata api anggota penguat kuasa sehingga tercetusnya insiden tembakan dan mengakibatkan salah seorang penyeludup terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BAKUL berisi burung murai yang dirampas Maritim Malaysia. foto MARITIM MALAYSIA

Nurul Hizam berkata, laporan bersabit kematian tersebut telah dibuat dan pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ujar beliau, kedua-dua bot serta tahanan bersama rampasan lebih kurang 90 bakul burung Murai telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Tanjung Sedili.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai lebih kurang RM290,000 termasuk sebuah bot dengan empat enjin 200 kuasa kuda, sebuah bot satu enjin 40 kuasa kuda dan 90 bakul dengan muatan lebih kurang 10 ekor burung Murai setiap bakul.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa suatu pas yang sah serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Nurul Hizam menjelaskan, jika disabit kesalahan,suspek boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan bagi Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). 

Bagi kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan hidupan Liar 2010 boleh didenda tidak kurang RM 20,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Selain itu bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM 10 ribu atau kedua-duanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan