KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan menetapkan 20 Januari 2021 sebagai tarikh pembukaan penggal pertama sesi persekolahan 2021 bagi semua sekolah di seluruh negara.
Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Mohd Radzi Jidin berkata, tarikh pembukaan sesi persekolahan sedikit lewat daripada kebiasaan dengan mengambil kira Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021.
“Ini bermakna cuti persekolahan bagi 2020 akan diteruskan mulai Disember 2020 sehingga 20 Januari 2021.
“Apabila saya mengumumkan cuti dipendekkan untuk 2020, kita merancang sesi persekolahan 2021 perlu dilewatkan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Radzi dalam pada itu berkata, kementerian sentiasa prihatin akan kebajikan dan beban guru berikutan penularan Covid-19 namun tidak bercadang memberikan sebarang insentif khas kerana mengambil kira beban kewangan ditanggung kerajaan sekarang.
Selain itu menurutnya, kementerian setakat ini berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal dalam kalangan pelajar selepas pembukaan sesi persekolahan baharu baru-baru ini.
Ujar beliau, secara keseluruhannya kementerian berpuas hati dengan pematuhan SOP dan penjarakan fizikal termasuk dari segi susun atur meja dan penjarakan fizikal pelajar ketika waktu rehat.
“Malah, saya sendiri melakukan tinjauan ke beberapa sekolah mendapati semua pelajar termasuk murid sekolah rendah sudah mematuhi SOP dan penjarakan fizikal termasuk duduk di meja masing-masing seperti diarahkan,” katanya.