28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Sepatutnya UMNO rasa terkilan terhadap Rais Yatim

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9


KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd.Razlan Rafii mengingatkan Tan Sri Dr. Rais Yatim supaya mengimbau kembali siapa yang memulakan sengketa dalam Perikatan Nasional (PN).

Kata beliau, ia berpunca kenyataan biadab Ahli Parlimen Mersing daripada Bersatu, Dr. Abdul Latiff Ahmad yang mengatakan kononnya UMNO sudah ‘tidak laku’ dan gagal mendapat sokongan rakyat.

Berikut kenyataan penuh Mohd.Razlan yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh;

Anggota Majlis Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr. Rais Yatim menyatakan rasa terkilannya terhadap kepemimpinan UMNO yang dilihat lebih mementingkan kerusi yang akan ditandingi nanti berbanding mempertahankan kuasa Melayu Islam.

Ketika umat Melayu Islam sedang diancam dengan cadangan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) oleh Pakatan Harapan (PH), di mana suara bantahan Bersatu?

Di mana suara Bersatu ketika Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam 405 (Himpunan 405) membantah dengan mana-mana pihak yang cuba menyentuh institusi Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Negara?

Tiba-tiba hari ini Bersatu muncul mahu pertahankan kuasa Melayu dan Islam? Jika Bersatu ikhlas, Alhamdulillah. Namun jika Bersatu mempunyai agenda untuk memenangi kembali hati orang Melayu, selamat berjaya diucapkan.

UMNO juga tidak berminat nak menjaja cerita pembahagian kerusi calon menjelang Pilihanraya Umum akan datang. Tetapi Dr. Rais Yatim kena imbau kembali, siapakah yang memulakan sengketa antara rakan parti di dalam Perikatan Nasional (PN). Umum ketahui, ia datang daripada barisan Bersatu sendiri.

Kenyataan biadab yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Mersing Dr. Abdul Latiff Ahmad yang mengatakan kononnya UMNO sudah ‘tidak laku’ dan gagal mendapat sokongan rakyat itu sebenarnya berniat jahat meskipun ‘salam perkenalan’ PN telah menunjukkan tanda-tanda positif.

Sekadar berkongsi maklumat yang mungkin Dr. Rais Yatim terlepas pandang bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah memenangi enam pilihan raya kecil (PRK) berturut – turut dan ia membuktikan sokongan rakyat telah beransur kembali kepada kami. Bukan niat bermegah mahupun membangga diri tetapi ini fakta.

Advertisements

Penubuhan UMNO sejak dari mula adalah untuk orang Melayu dan Raja-Raja Melayu. Hari ini asas perjuangan parti keramat ini masih sama malahan selama 60 tahun mentadbir kerajaan Persekutuan, semua peringkat golongan rakyat tidak diabaikan. Politik khidmat bakti sudah sebati menjadi DNA UMNO.

Dr. Rais Yatim harus sedar bahawa puak yang memecahkan kuasa Melayu Islam di negara ini adalah parti Bersatu yang tergamak bersekongkol dengan DAP sehingga menjadi asbab mereka bagai kadok naik kunjung.

Akhirnya syarikat dan harta negara dijual dan lebih menyedihkan lagi aset-aset Tabung Haji juga menjadi mangsa kerakusan kerajaan PH. Di mana suara Bersatu ketika itu?

Dalam isu pembahagian kerusi sudah jelas. UMNO mengambil ketetapan bahawa semua kerusi yang UMNO dan BN bertanding pada PRU -14 lepas sebagai ‘default’ adalah kerusi UMNO Barisan Nasional.

Jika ada mana – mana parti mahu mengambil kerusi-kerusi tersebut, maka rundingan dan perbincangan harus diadakan dengan baik. Bukan dengan cara menghina seperti yang Bersatu lakukan sebelum ini.

Bersatu boleh simpan semua mantan Ahli Parlimen UMNO yang telah lompat ke Bersatu namun tempat mereka akan diisi oleh calon dari UMNO dan BN.

Selain itu juga, ingin saya ingatkan Dr. Rais Yatim bahawa UMNO tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang cuba menekan parti ini dalam menerima apa – apa sahaja keputusan yang akhirnya merugikan orang Melayu.

Seperkara yang Dr. Rais Yatim harus sedar adalah kerajaan hari ini dibina dengan sokongan UMNO. Maka tak menjadi kesalahan sekiranya UMNO diberi kedudukan di pelbagai peringkat termasuk di syarikat-syarikat milik kerajaan GLC berdasarkan status sebagai parti di dalam kerajaan.

Saya berpendapat secara peribadi UMNO tidak ada masalah untuk melepaskan semua jawatan di dalam GLC dan menarik semula sokongan kepada kerajaan PN, cuma adakah ini yang Dr. Rais Yatim mahukan?


Akhir sekali, saya mohon Dr. Rais Yatim bermuhasabah diri dan tetapkan pendirian beliau. Kerana beliau juga harus jelaskan apakah sebenarnya prinsip perjuangan beliau yang agak ‘flip – flop’ dengan ‘kolam-kolam’ berlainan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan