25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PRK Chini: MN + Bersatu lulus ujian pertama dengan cemerlang

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

KUALA LUMPUR – Seperti dijangka Barisan Nasional (BN) tidak berdepan sebarang masalah untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu hari ini.

Melalui calon Mohd Sharim Md Zain, BN menang besar dengan memperoleh 13,872 undi meninggalkan dua calon Bebas, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli dengan majoriti 12,650 undi.

Tengku Zainul Hisham yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pekan memperoleh 1,222 undi sementara Mohd Shukri pula hanya memperoleh 137 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan peratusan keluar mengundi ialah sebanyak 73.87 peratus daripada 20,816 pemilih berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab itu di 13 pusat mengundi yang mula dibuka sejak 8 pagi tadi.

Proses pengundian PRK DUN Chini yang berlangsung dalam kebiasaan baharu akibat pandemik COVID-19 tamat pada pukul 5.30 petang.

Sememangnya di atas kertas BN tidak mempunyai sebab itu untuk tewas memandangkan Chini merupakan kubu kuat BN walaupun ketika ‘tsunami’ melanda dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lagi.

Dalam PRU-14, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan Mohd Fadhil Noor (Pas) yang mendapat 5,405 undi serta Mohamad Razali Ithnain (PH/PKR) dengan 1,065 undi.

Abu Bakar menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut sejak PRU-11 pada 2004 dan bertahan sehingga beliau meninggal dunia akibat serangan jantung pada 6 Mei lalu.

Bagaimana pun BN tidak memandang mudah pasukan lawan dan tetap menurunkan jentera mereka secara besar-besaran diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk meraih sokongan pengundi.

Ini ditambah pula dengan bantuan daripada jentera pilihan raya Pas dan Bersatu negeri yang turut bersama sejak hari penamaan calon tamat pengundian hari ini.

Mohd Sharim Md Zain dan isteri selepas membuang undi dalam PRK DUN Chini hari ini. Beliau menang dengan majoriti besar. – Bernama

Bahkan kehadiran Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohd Azmin Ali di Chini semalam cukup memberi makna yang besar kepada kerjasama Muafakat Nasional (MN) dan Bersatu.

Inilah kali pertama bekas Timbalan Presiden PKR itu masuk ke kubu UMNO/BN sebagai ‘sahabat’ selepas lebih 20 tahun ‘bermusuhan’ di pentas politik.

Lebih menarik kehadiran Azmin disambut mesra oleh Najib selaku ‘tuan rumah’ dan beliau diberikan layanan tetamu kehormat oleh para penduduk Chini.

Tiada sedikit riak wajah tidak senang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Pekan itu walaupun kita semua tahu bagaimana hebat ‘serangan’ Azmin terhadap beliau semasa berada dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Malah Najib menerusi Facebooknya beberapa hari lalu mengalu-alukan penyertaan jentera Bersatu di Chini dan ucapan penghargaan turut diberikan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu.

Jelaslah, PRK Chini bukan sekadar medan ujian keyakinan rakyat terhadap kerajaan PN malah lebih penting melihat sejauh mana kerjasama MN+Bersatu memberi impak kepada para pengundi di Chini.

Dengan kejayaan besar BN hari ini, boleh dikatakan kerjasama MN+Bersatu telah lulus dengan cemerlang dan momentum itu diyakini akan berlanjutan sehingga PRU-15 akan datang.

Tahniah BN, tahniah MN, tahniah PN!

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan