25.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Gelombang kedua Covid-19 landa Sarawak

Mesti Baca

KUCHING – Pertambahan kes positif Covid-19 kepada dua angka di Sarawak mencetuskan gelombang kedua pandemik itu di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebanyak 10 kes positif baharu direkodkan hari ini dengan Kuching mencatatkan enam kes manakala Samarahan dan Bintulu masing-masing dua kes.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak kini meningkat sebanyak 594 kes.

“Kluster baharu juga dikesan iaitu Kluster Kapal LNG Jupiter berikutan penambahan dua kes baru pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang membabitkan kluster ini ialah seramai tiga orang daripada keseluruhan 30 orang kru kapal yang disaring.

“Kes positif bukan warganegara itu adalah kontak rapat kepada kes positif yang telah dikesan pada 13 Julai lalu di atas kapal LNG Jupiter,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Uggah yang dipetik Harian Metro berkata, empat kes positif warganegara balik dari luar negara pula dikesan kalangan mereka yang sedang menjalani kuarantin selama 14 hari iaitu masing-masing dua di Kuching dan Samarahan.

“Kesemua kes ini dikategorikan sebagai kes import yang membabitkan warga tempatan,” katanya.

Advertisements

Beliau berkata, satu lagi kes positif hari ini membabitkan seorang wanita warga emas yang mengalami Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Kuching.

“Kes ini adalah jangkitan tempatan kerana kes tidak mempunyai sejarah perjalanan melawat ke luar negara,” katanya.

Katanya lagi, satu lagi kes positif membabitkan seorang pekerja kesihatan hari ini adalah kontak rakan tempat kerja kepada kes Ke-582 yang dikesan pada 15 Julai 2020 hasil saringan kepada kontak kepada kes positif Covid-19.

“Kes tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut. Kes juga adalah jangkitan tempatan kerana tidak mempunyai sejarah perjalanan melawat ke luar negara.

“Dua lagi kes positif hari ini membabitkan warga tempatan yang membuat saringan kendiri di hospital swasta dan punca jangkitan untuk kes ini masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Uggah berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Kesihatan Sarawak Isnin ini bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung kelengkapan peralatan perlindungan peribadi (PPE).

“Berikutan situasi terkini kes yang meningkat semula, kita mahu memastikan PPE mencukupi untuk petugas barisan hadapan,” katanya.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan