24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Anwar akan dianggap ‘pengecut’ jika tunduk lagi kepada Mahathir

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Tiada apa yang mengejutkan apabila sehingga ke hari ini, Pakatan Harapan plus yang turut oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad masih belum dapat memutuskan siapakah bakal Perdana Menteri.

Gempak-gempita yang dipalukan dua minggu lalu bahawa mereka sudah mencapai kesepakatan hanyalah ‘ tin kosong’.

Sebenarnya, PH plus masih bergelut apabila kali ini Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR berkeras untuk tidak akan lagi dengan sewenang-wenangnya menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepada Mahathir.

Mereka sudah serik ‘ditipu hidup-hidup’ oleh Ahli Parlimen Langkawi itu.
Seperti mana dilaporkan oleh beberapa portal berita, rundingan masih dijalankan bagi mencari penyelesaian memandangkan penentangan daripada PKR kali ini cukup hebat.

Pada masa sama Mahathir pula yang disokong oleh DAP, Warisan dan Amanah terus mahu menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga pada usia 95 tahun.

Persoalannya, adakah kali ini Anwar akan mengalah lagi? Kenapakah perlu ‘tunduk’ sekali lagi kepada Mahathir dengan mempercayai perjanjian yang mungkin akan dimungkiri?

‘’Anwar tidak boleh mengalah lagi kepada Mahathir. Janganlah sampai beliau dilihat sebagai ‘pengecut’ kerana tidak berani untuk menolak sebarang kompromi dengan Mahathir. Anwar kena tegas dan jangan beri laluan kepada Mahathir, kami sudah bosan kena tipu dengan Mahathir,’’ kata seorang sahabat yang berjuang bersama PKR ketika dihubungi.

Sementara itu, seorang pemerhati politik berkata, dengan memiliki 39 kerusi Parlimen Anwar berada di kedudukan lebih baik daripada Mahathir yang hanya mempunyai lima kerusi.

‘’Senang cakap, Anwar tidak perlukan Mahathir sebaliknya Mahathir yang memerlukan Anwar. Ia kerana walaupun Mahathir disokong oleh DAP, Warisan dan Amanah tetapi jika PKR tidak mahu bersama dalam kesepakatan itu, mereka tidak boleh melakukan apa-apa.

‘’Kalau kali ini Anwar berikan juga kepada Mahathir atas apa alasan pun, orang akan melihat Anwar tidak cerdik berpolitik kerana bersedia untuk ditipu buat kali kedua oleh Mahathir,’’ katanya kepada penulis.

Pemerhati politik itu yang juga seorang ‘saudagar’ berkata, tiada sebab Anwar perlu tunduk kepada Mahathir kecuali lah Mahathir memegang apa-apa rahsia besar Anwar.

Advertisements

‘’Kalau tidak ada apa-apa rahsia, Anwar tidak perlu berkompromi dengan Mahathir. Anwar tidak boleh dituduh menjadi ‘Melayu bacul’ dan pengecut kerana membenarkan Mahathir menjadi Perdana Menteri sekali lagi,’’ katanya.

Khabarnya antara cadangan dalam rundingan ialah Mahathir akan memegang jawatan Perdana Menteri sehingga hujung tahun sebelum diambil alih oleh Anwar dan satu perjanjian secara ‘hitam putih’ akan ditandatangani.

Tetapi adakah perjanjian seumpama itu sah di sisi undang-undang? Adakah nanti dalam surat pelantikan Mahathir akan tertera tarik sampai bila beliau akan menjadi Perdana Menteri dan siapa penggantinya?

Terlalu banyak persoalannya yang bergentayangan apabila ada cadangan seumpama itu dan paling penting sejauh manakah keberanian Anwar untuk menolak sebarang usaha mengembalikan Mahathir sebagai Perdana Menteri? Bagaimana pula dengan maruah penyokong-penyokong PKR yang selama ini berjuang demi mahu memastikan Anwar menjadi Perdana Menteri?

Di mana maruah mereka apabila berjuang habis-habisan dalam pilihan raya tetapi kesudahannya Mahathir yang pernah menjadi musuh nombor satu mereka kembali menduduki jawatan itu – bukan sekali tetapi kali ketiga manakala Anwar pula akan dilihat ‘tertipu’ buat kali kedua.

Kecelaruan dan kekalutan dalam PH berlaku kerana Mahathir dilihat sanggup melakukan apa sahaja asalkan beliau boleh kembali berkuasa.

Walaupun Mahathir sudah seperti ‘melukut di tepi gantang’ di dalam PH tetapi beliau tidak peduli sebab itulah Mahathir sanggup merendahkan martabatnya dengan ‘memanjat’ Ibupejabat PKR semata-mata mahu berunding dengan Anwar.

Melalui tindak tanduknya, Mahathir dianggap sudah tidak ada lagi maruah politik kerana dalam fikirannya hanya satu iaitu menjatuhkan Tan Sri Muhyidddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

‘Kegigihan’ Mahathir itu seharusnya memberi peringatan kepada Anwar bahawa itu juga boleh berlaku kepada beliau apabila Mahathir sudah tidak suka seseorang.

Sepatutnya peristiwa 22 tahun lalu harus memberi pengajaran kepada Anwar untuk menolak Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri sebanyak 2 kali, iaitu 22 tahun kali pertama dan 22 bulan kali kedua. Jangan Anwar pula mencatatkan rekod 2 kali ‘bakal Perdana Menteri’.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan