25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Mampukah ‘Kluster Che Det’ gugat Muhyiddin?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

MASIHKAH kita ingat, pada awal pagi 9 Mei 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakhiri sidang media sebaik sahaja Pakatan Harapan diisytiharkan menang PRU-14 dengan berseloroh, “ingat, saya seorang diktator.”

Istilah diktator ini digunakan oleh pemimpin dan penyokong PKR serta DAP ketika mereka ‘bermusuh’ dengan bekas Perdana Menteri itu, bagaimanapun ia tidak lagi kedengaran apabila Ahli Parlimen Langkawi tersebut membawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai Pakatan Harapan (PH) sehingga berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Panggilan diktator bukanlah bermaksud Mahathir melakukan kekejaman kepada sesiapa sebaliknya lebih kepada corak dan pendekatan politik beliau yang dianggap tegas dan kadang kala keras serta mengikut cara tersendiri. Kini apabila beliau mengemukakan usul tidak percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, biarpun Perdana Menteri adalah Presiden parti beliau, ia membuktikan betapa kerasnya politik Mahathir.

Walaupun sudah dua kali menjadi Perdana Menteri, pernah bergaduh dengan Tunku Abdul Rahman, mengkritik Tun Abdullah Ahmad Badawi sehingga bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu berundur, bersekongkol dengan DAP sehingga terhumban kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak, ia seolah-olah belum mampu ‘memuaskan nafsu politik’ beliau.

Kini Muhyiddin pula menjadi sasaran. Kemarahan terhadap Ahli Parlimen Pagoh tersebut bagaikan tidak boleh dibendung lagi apabila Muhyiddin bekerjasama dengan UMNO dan Pas. Walaupun UMNO dan Pas adalah parti yang memperjuangkan orang Melayu dan Islam, tetapi Mahathir seolah-olah melihat kedua-dua parti itu jauh lebih buruk daripada DAP.

Mahathir bersedia menerima DAP dan sama sekali tidak mahu memaafkan UMNO dengan alasan pemimpin UMNO, perasuah, perompak, pencuri dan pelbagai gelaran buruk lain. Biarpun pemimpin yang beliau benci dan musuhi itu kini sedang dibicarakan dan tidak lagi memegang jawatan dalam parti ataupun kerajaan, tetapi amarah Mahathir kepada UMNO tidak pernah reda.

Keegoan Mahathir memungkinkan beliau terlupa untuk ‘cermin diri’ bahawa pembentukan kerajaan oleh Muhyiddin bersama kedua-dua parti itu disebabkan tindakan Mahathir meletakkan jawatan sehingga Kerajaan PH tumbang dan beliau sendiri ketika menjadi Perdana Menteri Interim membubarkan Kabinet pakatan tersebut.

Persoalannya, apa motif Mahathir mengemukakan usul tidak percaya tersebut? Adakah ia akan mendapat sokongan pemimpin PH sedangkan pakatan itu secara rasmi melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang? Kalaulah betul apabila pengundian dijalankan Muhyiddin kalah, siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri, Mahathir atau Anwar?

Kalau Mahathir kembali ke jawatan itu, adakah beliau mempunyai cukup majoriti? Dan kalau Anwar pula mahu dilantik, adakah Mahathir akan merelakannya sedangkan Mahathir mungkin sudah ada calon lain?

Soalnya bagaimana dengan rakyat? Sampai bila mereka harus melihat opera politik tanah air yang ‘disutradarakan’ oleh Mahathir sejak 1981 lagi? Dan paling utama apakah wajar Mahathir dilihat mahu memuaskan nafsu politiknya ketika negara sedang berhadapan dengan Covid-19.?

Adakah Mahathir cemburu kerana Muhyiddin semakin popular berikutan langkah-langkah membela nasih rakyat ketika Covid-19? Tak kan lah sebelum ini beliau resah dengan ‘bossku’ dan kini Muhyiddin pula? Dan adakah selepas ini siapapun yang menjadi Perdana Menteri akan diganggu oleh ‘Kluster Che Det’ ?

Semakin ramai bertanya, apa lagi beliau mahu? Tidak puaskah lagi dua kali menjadi Perdana Menteri? Adakah beliau hanya akan berhenti ‘mengganggu’ sesiapa juga Perdana Menteri setelah anaknya menduduki jawatan itu? Sesungguhnya Allah maha mengetahui. – EDISI9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan